ad
AGENDA

Bah jejas lebih 5,800 hektar tanaman padi, nilai kerugian RM32 juta

21 Sep 2024, 9:05 AM
Bah jejas lebih 5,800 hektar tanaman padi, nilai kerugian RM32 juta
Bah jejas lebih 5,800 hektar tanaman padi, nilai kerugian RM32 juta

PUTRAJAYA, 21 SEPT: Seluas 5,822.59 hektar tanaman padi telah terjejas akibat banjir, dengan anggaran kerugian hasil padi mencecah RM32 juta di negeri-negeri utara.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata kementerian telah mengambil langkah untuk membantu petani, penternak, dan nelayan yang terkesan dengan bencana tersebut.

Beliau berkata bantuan pasca bencana akan disalurkan melalui Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) bagi tanaman padi, serta Tabung Bencana Pertanian (TBP) untuk aktiviti agromakanan lain.

[caption id="attachment_572604" align="aligncenter" width="814"] Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berucap pada Program Lawatan Kerja ke Jelapang Padi Negeri Selangor di Tali Air Tiga Sungai Burong, Sekinchan pada 6 Mac 2023. Foto BERNAMA[/caption]

"Selain bantuan tersebut, hari ini AgroBank turut mengumumkan tawaran moratorium kepada para pelanggannya yang terjejas akibat banjir yang berlaku sekarang ini.

"Para petani, penternak, nelayan dan usahawan yang terlibat boleh memohon untuk mendapatkan kemudahan ini di cawangan AgroBank yang terdekat," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohamad berkata bilik gerakan bencana Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) di peringkat daerah dan negeri sedang memantau keadaan cuaca, membuat hebahan awal kepada golongan sasar dan melaksanakan pelan mitigasi bagi mengurangkan kerugian kepada sektor agromakanan negara.

Beliau berkata KPKM juga telah mengarahkan KPKM Inc. mengadakan libat urus bersama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) bagi memastikan maklumat berhubung penyelarasan bencana banjir di peringkat daerah dan negeri sentiasa dikemas kini dan disampaikan kepada kumpulan sasar terutama bagi kawasan yang berisiko mengalami bencana.

Katanya KPKM juga bersedia untuk menggerakkan aset-aset yang diperlukan bagi membantu usaha-usaha menyelamat semasa banjir, sekiranya perlu dan setelah mendapat kebenaran daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.