SHAH ALAM, 21 SEPT: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menasihati ibu bapa dan penjaga supaya menyemak latar belakang sekolah atau pusat jagaan amal sebelum menghantar anak masing-masing ke pusat berkenaan.
Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah tindakan itu dapat mengelak anak-anak mengikuti program dan pembelajaran yang meragukan di sekolah atau pusat jagaan tidak berdaftar.
“Langkah ini untuk memastikan anak-anak dididik dan dijaga dengan sewajarnya serta mengelak berlaku pengabaian dan eksploitasi.
“Ingatlah bahawa anak-anak adalah amanah Allah SWT dan ibu bapa serta penjagalah yang bertanggungjawab untuk mencorak masa depan yang baik untuk mereka,” titah Baginda menerusi kenyataan hari ini.
Terdahulu Sultan Sharafuddin mezahirkan rasa kesal terhadap hasil pembongkaran kegiatan Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) yang disyaki melakukan jenayah serius termasuklah penderaan pelajar, eksploitasi kanak-kanak, buruh paksa, jenayah seksual termasuk liwat selain amalan bertentangan akidah Islam.
Berikutan itu Baginda menitahkan pihak berkuasa agama dan polis segera mengambil tindakan terhadap GISBH selain mahu rumah amal dan sekolah agama bawah kawalan kumpuan itu yang tidak berdaftar atau disyaki terlibat dalam jenayah syariah ditutup.
Baginda juga mengesa Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor untuk meneliti seterusnya memutuskan persoalan sama ada amalan GISBH menyeleweng atau bercanggah ajaran Islam sebenar.
“Semua perbuatan jenayah ini telah mencemar nama baik dan kesucian agama Islam. Menurut laporan diterima Beta, kebanyakan rumah amal bawah pengawalan GISBH sudah beroperasi lama beberapa negeri khususnya Selangor tanpa pendaftaran sepertimana keperluan undang-undang yang sedang berkuat kuasa,” titah Baginda.