SHAH ALAM, 21 SEPT: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menitahkan pihak berkuasa agama dan polis segera mengambil tindakan terhadap Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) yang disyaki melakukan jenayah berat.
Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj juga bertitah semua rumah amal dan sekolah agama bawah kawalan GISBH yang tidak berdaftar atau disyaki terlibat dalam jenayah syariah ditutup bagi mencegah kanak-kanak dari dianiayai.
Baginda juga mengesa Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor untuk meneliti seterusnya memutuskan persoalan sama ada amalan GISBH menyeleweng atau bercanggah ajaran Islam sebenar.
“Beta ingin memberi peringatan sekali lagi kepada semua pihak khususnya pihak berkuasa agama untuk memandang serius isu berkaitan tindak-tanduk kumpulan GISBH terutama melibatkan kanak-kanak dan ajaran sesat yang disyaki diamalkan oleh mereka.
“Tindakan segera dan tegas tanpa kompromi perlu dilakukan bawah undang-undang terhadap mana-mana pihak yang melakukan jenayah terhadap kanak-kanak dan amalan bertentangan akidah demi memelihara kesucian agama Islam
“Beta tidak mahu kita hanya diumpamakan sebagai ‘tin kosong’, hanya pandai bercakap tetapi tiada hasilnya. Beta menyeru semua agensi penguatkuasa agama dan polis menjalankan penyiasatan dengan telus dan sentiasa memelihara integriti dan amanah dipertanggungjawabkan,” titah Baginda menerusi kenyataan hari ini.
Susulan pembongkaran terhadap kegiatan GISBH ketika ini, Sultan Sharafuddin mengakui berasa kesal dan kecewa memandangkan perkara itu sudah berlanjutan sekian lama namun tiada tindakan untuk menanganinya.
Titah Baginda, keadaan ini menunjukkan wujudnya kelemahan aspek pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang terhadap rumah amal dan sekolah agama Islam berkait GISBH hingga menyebabkan perkara menjadi serius dan tidak terkawal.
“Beta telah memanggil mengadap pengerusi dan beberapa anggota Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), ketua polis Selangor mesyuarat bagi mendapatkan maklumat lengkap mengenal pasti langkah segera yang perlu diambil.
“Susulan mesyuarat itu Beta menitahkan MAIS, JAIS, Jabatan Mufti Selangor dan Jabatan Pendakwaan Syariah Selangor bersama polis Selangor dan Bukit Aman bekerjasama menyiasat bagi memastikan semua yang terlibat secara langsung dan tidak langsung diheret ke mahkamah dan didakwa,” titah Baginda.