KUALA LUMPUR: Perdana menteri mencabar pembangkang menghantar usul undi tidak percaya terhadap beliau pada sidang Dewan Rakyat Oktober ini.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata blok berkenaan perlu mengikut undang-undang sekiranya mahu beliau melepaskan jawatan.
"Tak perlu jerit-jerit. Ada 30 orang suruh Anwar turun. Ingat negara dia, tak ikut hukum. Nak turunkan sila, saya beri jaminan, ada usul sidang Parlimen pertengahan Oktober (14 Oktober).
"Bawa usul undi tidak percaya kepada Anwar sebagai perdana menteri.
"Sempat, kalau lambat pun saya luluskan," katanya ketika berucap pada Himpunan Parti Keadilan Rakyat Suara Rakyat Suara Keramat malam tadi.
Berlangsung di Stadium Axiata, di sini, presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) berkata parti perlu kembali kuat dan terus memperkukuhkan jentera demi memastikan kebajikan rakyat terjaga.
Anwar turut memberi amaran untuk menggugurkan mana-mana pemimpin yang lemah dan lembab kerana perjuangan parti memerlukan kekentalan.
“Mana-mana wakil rakyat yang lembab, tukar. Anwar sebagai perdana menteri, ada menteri besar, pemimpin ini lahir dari derita, air mata, luka, darah perjuangan rakyat bawahan.
“Teruskan usaha. Kuatkan jentera. Jangan ugut. Hina, aib kerana kami sudah lalui semua. Insya-Allah kita mesti fokus kerja, perkukuhkan parti. Kibar semangat reformasi,” katanya.