ad
AGENDA

Eksport lada Malaysia meningkat kepada RM86.4 juta setakat Julai

20 Sep 2024, 2:30 PM
Eksport lada Malaysia meningkat kepada RM86.4 juta setakat Julai

JOHOR BAHRU, 20 SEPT: Eksport lada Malaysia meningkat kepada RM86.4 juta bagi tempoh Januari sehingga Julai tahun ini berbanding RM80.2 juta bagi tempoh sama tahun lepas, kata Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Chan Foong Hin.

Beliau berkata 50 peratus daripadanya dieksport ke Jepun.

“Jepun adalah pasaran tradisional kita memandangkan lada kita mempunyai kepedasan berlainan daripada lada negara lain.

“Selain Jepun, negara utama lain yang menjadi penyumbang eksport adalah China, Korea Selatan dan Sweden,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Kempen Penggunaan Lada Malaysia 2024 di sini hari ini.

Chan berkata nilai perdagangan lada Malaysia ke Singapura pula menunjukkan prestasi memberangsangkan iaitu RM8.20 juta atau 368.15 tan bagi tempoh tujuh bulan pertama tahun ini berbanding RM5.86 juta atau 288.44 tan pada 2023.

Menurutnya Singapura turut menjadi rakan dagang penting bagi sektor lada negara dan berpotensi besar untuk dikembangkan berdasarkan faktor hubungan perdagangan, geografi dan hubungan ekonomi.

Sementara itu, katanya tanaman lada di seluruh negara meningkat daripada 8,172 hektar tahun lepas kepada 8,215 hektar tahun ini.

“Jumlah pekebun turut meningkat kepada 39,137 daripada 38,986 tahun sebelumnya yang menunjukkan industri lada terus berkembang pesat melalui usaha berterusan yang telah dan sedang dilaksanakan oleh kerajaan melalui Lembaga Lada Malaysia,” katanya.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.