ad
AGENDA

Restoran, kedai runcit milik GISBH ditutup tanpa notis

20 Sep 2024, 12:30 PM
Restoran, kedai runcit milik GISBH ditutup tanpa notis

KUALA LUMPUR, 20 SEPT: Pembongkaran isu eksploitasi kanak-kanak dan agama dikaitkan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) yang mengejutkan negara minggu lepas, sedikit sebanyak memberikan kesan kepada operasi perniagaan dijalankan oleh syarikat itu.

Ini dapat dilihat apabila beberapa perusahaan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan GISBH seperti restoran, kedai bakeri, kedai runcit dan dobi berdepan kekurangan pelanggan susulan pembongkaran itu.

Hasil tinjauan Bernama di beberapa negeri hari ini mendapati kebanyakan premis tidak beroperasi malah tanpa mengeluarkan sebarang pemberitahuan atau pemakluman penutupan operasi kepada pelanggan mereka.

Seorang pelanggan tetap restoran milik syarikat itu di Jalan Rapat Bistari 1, Taman Rapat di Ipoh, Perak Izzuan Ishak, 42, berkata sudah menjadi kelazimannya untuk membeli makanan tengah hari di restoran berkenaan hampir setiap hari, namun sejak semalam premis perniagaan itu ditutup.

Seorang lagi pelanggan, Firdaus Hashim, 37, meluahkan rasa hairan kerana kesemua premis perniagaan GISBH di kawasan itu ditutup tanpa sebarang notis pemberitahuan.

“Saya rasa mungkin mereka mulai terkesan dengan isu yang melanda syarikat itu sekarang dan orang ramai sudah mulai menjauhi premis mereka,” katanya kepada Bernama.

Situasi sama di Selangor, apabila tinjauan di Seksyen 13, Shah Alam mendapati kedai makan dan kedai runcit dipercayai kendalian GISBH kini ditutup dan berdasarkan maklumat orang awam, premis itu tidak lagi dibuka setelah diarahkan berbuat demikian oleh pihak berkuasa tiga hari lepas.

Seorang wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Suri berkata beliau kerap berkunjung ke kedai makan cawangan syarikat itu sebelum ini, malah menurutnya kedai tersebut sering dipenuhi orang ramai terutamanya pada waktu sarapan dan tengah hari.

“Selepas berita mengenai mereka keluar, saya memang ada rasa terkejut juga sebab memang tak tahu jadi kes sebegitu sebab bila pergi ke sana memang tiada apa yang pelik cuma saya perasan yang lelaki akan bekerja di hadapan dan wanita akan memasak di dapur,” katanya.

Sebuah restoran dipercayai mempunyai kaitan dengan syarikat itu yang terletak di Jalan Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu juga mula tidak beroperasi sejak semalam, namun kelengkapan seperti kerusi, meja dan rak besi masih diletakkan di bahagian depan premis makanan itu.

Seorang pekerja kedai berhampiran yang mahu dikenali sebagai Nora berkata restoran tersebut mula lengang sejak berita berhubung GISBH didakwa terlibat aktiviti eksploitasi kanak-kanak dan jenayah seksual menjadi perbualan hangat orang ramai.

“Restoran GISBH ini biasanya dibuka setiap hari termasuk Jumaat dan Sabtu, dari pagi hingga petang. Di Kuala Terengganu ini memang susah nak cari kedai makan yang buka hari Jumaat. Kalau hari Jumaat lagilah ramai orang di restoran GISBH ini,” katanya.

Seorang penduduk sekitar, Mohd Nazri Ghani, 50, pula berkata restoran itu telah beroperasi lebih dari 10 tahun dan kebanyakan pekerjanya terdiri daripada remaja lelaki belasan tahun dan awal 20-an.

Sementara itu, tinjauan mendapati sebuah restoran dipercayai berkait dengan GISBH di Kota Bharu, Kelantan juga dikunci dengan rantai dan mangga, selain kedai bakeri serta pasar raya kendalian syarikat itu, masing-masing di Gua Musang dan Tumpat, turut tidak beroperasi.

Premis perniagaan GISBH seperti bakeri, dobi dan restoran di Kuantan, Pahang juga tidak beroperasi meskipun carian di laman Google memaparkan kedai tersebut dibuka untuk pelanggan, malah sebuah vila milik syarikat itu yang terletak di Beserah juga kelihatan sunyi dengan pagar ditutup.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata pihaknya turut melakukan pemantauan ke atas syarikat tersebut yang menjalankan aktiviti di premis perniagaan di negeri itu

Pada 11 Sept lepas, Polis Diraja Malaysia (PDRM) melancarkan Op Global dan menyelamatkan 402 individu dari 20 rumah perlindungan yang mempunyai kaitan dengan GISBH di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan.

Ujian saringan kesihatan terhadap 392 kanak-kanak dan remaja yang diselamatkan dalam Op Global itu mendapati mereka mengalami penderaan fizikal dan emosi serta eksploitasi buruh termasuk dipaksa bekerja menjual barang.

-BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.