SHAH ALAM, 20 SEPT: Anak bekas pemimpin Al-Arqam disyaki ahli Global Ikhwan Services and Business Holding (GISBH) antara tujuh ditahan di empat lokasi sekitar Pahang dan Kelantan, semalam.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata permohonan reman ke atas kesemua lelaki berusia 24 hingga 35 tahun itu dibuat di Mahkamah Shah Alam, lapor Sinar Harian.
"Mereka direman tujuh hari bermula Jumaat hingga Khamis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007," katanya.
Razarudin berkata kesemua yang ditahan ditempatkan di lokap berpusat Shah Alam dan siasatan awal masih dijalankan terhadap mereka.
Semalam, ketua pegawai Eksekutif GISBH dan isterinya antara 19 individu ditahan dalam operasi yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman pada jam 5.40 pagi.
Mereka direman tujuh hari bermula Khamis hingga Rabu bagi membantu siasatan.
Mengulas perkembangan Op Global, Razarudin berkata siasatan kini pada fasa kedua bermula pada 11 September selepas fasa pertama dimulakan 2 September lalu.
Selain itu, polis turut membekukan 96 akaun melibatkan GISBH bernilai RM581,552.31 mengikut Seksyen 44(1) AMLATFPUAA 2021, selain menutup empat akaun.