Antara persoalan yang kerap timbul akibat pertembungan politik di Malaysia ialah menyebut lawan parti politik sebagai kafir harbi.
Tuduhan itu tentulah dikenakan kepada kelompok bukan Islam dan bukan Melayu, ataupun parti yang didominasi bukan Islam dan bukan Melayu.
Persoalannya, bolehkah disebut sedemikian terhadap kelompok atau parti tertentu dalam kalangan bukan Melayu-Islam di Malaysia?
Terlebih dahulu, kita perlu menentukan maksud kafir harbi terlebih dahulu. Secara ringkasnya, perkataan kafir harbi merujuk kepada bukan muslim yang tiada perjanjian dengan pemerintahan Islam.
Kalau ada perjanjian, maka dia dikira kafir zimmi ataupun hari ini disebut sebagai warganegara yang memiliki hak dan tanggungjawab sebagaimana dijelaskan dalam perlembagaan negaranya.
Selain merujuk kepada bukan kafir zimmi atau warganegara, kafir harbi juga bermaksud bukan muslim yang tidak mendapat jaminan keselamatan daripada pemerintah negara Islam.
Gambaran hari ini mungkin terpakai kepada pemegang kad pengenalan atau dokumen tertentu yang membuktikan dirinya sebagai warganegara.
Sementara itu, kalau seseorang bukan muslim mendapat jaminan keselamatan untuk tempoh tertentu, dia disebut sebagai kafir musta’man. Jaminan itu mungkin hari ini boleh digambarkan seperti visa.
[caption id="attachment_663535" align="aligncenter" width="808"] Ribuan pengunjung pelbagai bangsa membanjiri Dataran Kemerdekaan Shah Alam untuk meraikan Hari Kebangsaan ke-67 peringkat negeri pada 30 Ogos 2024. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]
Kesimpulannya, kafir harbi bukanlah kategori kafir zimmi dan bukan juga kafir musta’man. Kafir harbi juga tinggal di darul harbi iaitu negara yang memerangi negara-negara Islam yang lain. Disebabkan itu penduduknya disebut sebagai kafir harbi atau boleh diperangi.
Pembahagian itu dilakukan dalam konteks dunia sebelum wujudnya perjanjian antarabangsa dalam skala yang besar seperti yang berlaku pada abad ke-20 hingga sekarang.
Disebabkan itu, kalau kita bahas dalam konteks dunia berasaskan perjanjian antarabangsa melalui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) zaman ini, maka semua negara bukan Islam tidak dikira sebagai darul harbi.
Sebaliknya, semua negara bukan Islam itu disebut sebagai darul ‘ahd. Begitulah yang ditegaskan oleh Imam Abu Zahrah, ahli fiqh terkemuka abad ke-20 dalam bukunya tentang Hubungan Antarabangsa.
Beliau menyebut bahawa setiap negara umat Islam hendaklah mematuhi perjanjian dan komitmen sebagaimana ternyata dalam undang-undang antarabangsa.
Darul harbi
Muridnya iaitu Sheikh Dr Yusuf al-Qaradawi turut berpandangan sedemikian dalam Fiqh al-Jihad. Pengecualian hanya diberikan kepada Israel.
Al-Qaradawi menegaskan bahawa negara haram ini adalah satu-satunya darul harbi pada hari ini.
Kalau begitu, maka bukan muslim yang tinggal di negara-negara bukan Islam yang lain (selain Israel) tidak dikira sebagai kafir harbi.
Justeru, dalam konteks Malaysia, bukan muslim yang menjadi warganegara di negara ini dan telah termaktub hak-hak mereka dalam perlembagaan lagilah tidak wajar dikira sebagai kafir harbi.
Penggunaan istilah warganegara kepada bukan muslim bukan sahaja sesuai di negara-negara Islam pada zaman ini termasuk di Malaysia, malah bertepatan dengan penggunaan istilah dalam perlembagaan persekutuan yang merujuk semua sebagai warganegara tanpa mengira agama.
Warganegara bukan Melayu-Islam itu bukan kafir harbi kerana gelaran ini adalah kepada pihak yang memerangi orang Islam dari negara bukan Islam.
Kita sudah sebut bahawa yang relevan disebut sedemikian menurut wacana fiqah kontemporari hanyalah negara haram Israel.
Oleh yang demikian, kalau ada pun bukan muslim yang bermasalah di Malaysia, mereka masih tidak dikira sebagai kafir harbi, tapi ungkapan yang sesuai ialah warganegara yang melakukan kesalahan.
Kalau ada yang menunjukkan permusuhan pun, mereka tetap dikira sebagai warganegara. Kalau ada kesalahan dalam memberi pandangan, kita boleh dibalas dengan hujah balas.
Adapun kalau kesalahan melibatkan undang-undang, maka individu atau kelompok terbabit boleh dikenakan tindakan undang-undang.
Adapun kalau sekadar kerana berbeza parti politik, maka usah diguna istilah kafir harbi. Ada implikasi besar dari sudut fiqh hubungan antara muslim dan bukan muslim dalam sesebuah negara.
Malah pihak pelampau juga boleh mengambil kesempatan daripada isu ini untuk menggunakan kekerasan atas nama Islam terhadap kelompok tertentu dalam kalangan warganegara bukan muslim di Malaysia.
Tambahan pula, para ulama dan pemikir bidang politik Islam dan perundangan zaman ini seperti al-Qaradawi, Muhammad Imarah, al-Ghannouchi dan sebagainya sudah membicarakan keperluan untuk tidak menggunakan istilah kafir zimmi.
Walhal istilah ini mengandungi maksud positif yang menunjukkan hak dan tanggungjawab yang sama rata antara warga bukan muslim dan muslim di dalam sebuah negara yang sama, kecuali hal-hal eksklusif yang bersangkut dengan hal ehwal agama.
Kalau istilah kafir zimmi sendiri sudah tidak digunakan meski bermaksud baik, maka apatah lagi istilah kafir harbi yang tidak tepat dengan fiqah kenegaraan Islam pada zaman ini.
Justeru, semua mereka adalah warganegara atau istilah lain yang indah digunakan oleh pemikir Islam negara ini, Allahyarham Datuk Dr Siddiq Fadzil ialah saudara setanah air.