ad
EXCO

Mpox: Tiada laporan kes, situasi di Selangor terkawal

19 Sep 2024, 8:14 AM
Mpox: Tiada laporan kes, situasi di Selangor terkawal

SHAH ALAM, 19 SEPT: Tiada laporan jangkitan kes cacar monyet atau mpox di Selangor setakat ini dan situasi terus terkawal, kata EXCO Kesihatan Jamaliah Jamaluddin.

Beliau berkata semua 10 kes mpox yang dilapor sejak Julai tahun lalu juga tidak membimbangkan, hanya membabitkan Clade II sahaja dan bukan jenis sebaran serius.

“Setakat ini kita tidak terima laporan jangkitan mpox di Selangor. Segalanya masih terkawal, malah 10 kes yang ada pun terkawal dan bukan jenis sebaran yang serius.

“Untuk makluman juga, jangkitan mpox ini juga tidak terlalu berisiko berbanding Covid-19 kerana ia hanya tersebar melalui cairan berbanding Covid melalui udara,” katanya kepada pemberita.

Beliau ditemui selepas merasmikan program sesi libat urus bersama pihak berkepentingan bagi pelaksanaan Dasar Pelepasan Sifar di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini, hari ini.

Virus Mpox Clade I dikategorikan sebagai mudah berjangkit dan mempunyai kadar kematian 10 peratus, manakala Clade II mempunyai kadar kematian yang lebih rendah.

Jamaliah dalam kenyataannya semalam memaklumkan Selangor meningkatkan pengesanan awal kes mpox dengan mengukuhkan sistem pengawasan di kemudahan kesihatan bagi menangani penularan penyakit itu.

Menurutnya, langkah lain yang diambil termasuk memperkukuh pengurusan kes melalui taklimat berkala dan program pendidikan perubatan berterusan (CME) di setiap daerah.

Sejak 26 Julai 2023, negara mencatatkan 10 kes mpox dengan kes terbaharu pada 16 September lalu membabitkan seorang lelaki warga tempatan yang tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara.

Pada 14 Ogos, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan mpox sebagai kecemasan kesihatan awam global yang menjadi kebimbangan antarabangsa.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.