SHAH ALAM, 19 SEPT: Pemantauan ketat dan berkala perlu dilakukan agensi berkaitan untuk memastikan kebajikan dan keselamatan penghuni di rumah perlindungan terjaga.
EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata masyarakat juga perlu cakna dengan keadaan sekeliling dan melaporkan segera jika mengesan aktiviti mencurigakan.
Menurutnya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan membuat operasi dan pemutihan mengikut aduan untuk menyemak sama ada rumah kebajikan berdaftar ataupun sebaliknya.
“Biasanya jika tiada aduan, JKM pun tidak maklum. JKM juga tiada operasi secara berkala kerana pegawai terhad kepada tugasan hakiki atau harian.
[caption id="attachment_655499" align="alignright" width="459"] EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari ditemui pemberita selepas merasmikan program Perlindungan Kanak-Kanak: Kasih Kanak-Kanak 2024 di SMK Darul Ehsan, Gombak pada 1 OGOS 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
“Pada saya, bahagian penguatkuasaan JKM perlu laksana pemantaun lebih kerap dan bertindak segera jika ada aduan pusat kebajikan beroperasi terutama di kawasan kejiranan,” katanya ketika dihubungi.
Baru-baru ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain mendedahkan polis menyelamatkan 402 kanak-kanak dan remaja di rumah amal sekitar Selangor dan Negeri Sembilan menerusi Op Global.
Dalam pada itu, Anfaal berkata kos operasi teknikal mencecah RM25,000 untuk memenuhi rancangan pembangunan termasuk semakan reka bentuk antara punca banyak rumah kebajikan tidak berdaftar.
Jelasnya, mereka juga perlu melalui beberapa proses ketat antaranya mendaftar sebagai badan bukan kerajaan (NG0) dan disahkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).
"Jika perlu bangunan, kena memohon kebenaran merancang dengan pihak berkuasa tempatan (PBT). PBT dan bomba akan sahkan sama ada bangunan itu selamat atau tidak didiami sebelum diluluskan JKM.
"Untuk semakan reka bentuk bangunan, mereka perlu upah perunding. Ini menyebabkan rumah kebajikan lebih tumpu untuk tampung kos harian berbanding urusan teknikal ini,” jelasnya.
Sebelum ini, Anfaal memberitahu Kerajaan Selangor akan merancakkan operasi pemutihan bagi mengesan pengusaha rumah jagaan dan kebajikan kanak-kanak tidak berdaftar di negeri ini.
Tindakan itu selaras arahan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk memastikan rumah kebajikan memenuhi syarat demi keselamatan dan kesejahteraan penghuninya.