SHAH ALAM, 19 SEPT: Tiga lelaki mempunyai kaitan dengan GISB Holdings (GISBH) didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban, di sini, hari ini, atas tuduhan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak.
Tiga lelaki yang disiasat menerusi Op Global itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas tuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Surita Budin, lapor portal Berita Harian.
Muhammad Habib Noh Mohd Zairi, 21; Muhammad Khunais Fathie Khabil, 20 dan Ahmad Nadzful Izham Azizan masing-masing berdepan lima, enam serta tiga pertuduhan.
Semua tertuduh didakwa mengikut Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak- Kanak 2017 atas perbuatan itu di sebuah madrasah di Kuala Pilah.
Hakim Mahkamah Sesyen itu membenarkan ikat jamin sebanyak RM12,000 terhadap setiap tertuduh bagi setiap pertuduhan yang dihadapi.
Sebutan semula bagi lantikan peguam dan laporan kesihatan pada 30 Oktober ini.
Ia pertuduhan kedua membabitkan GISBH selepas seorang lelaki yang juga ahli kumpulan itu didakwa di Mahkamah Majistret Putrajaya semalam, atas kesalahan membabitkan ugutan jenayah.