SHAH ALAM, 18 SEPT: Pelbagai kelengkapan disediakan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) sebagai persediaan berdepan Monsun Timur Laut dan fenomena air pasang besar di kawasan itu.
Pengarah Jabatan Komunikasi Korporatnya Norfiza Mahfiz berkata lebih 20 aset kenderaan disediakan antaranya bot kecil, lori jetter, trak pikap dan lori tangki jika berlaku banjir.
“Pasukan kita sentiasa bersiap siaga dari awal termasuk aspek logistik. Kita turut menyediakan dron, jaket keselamatan dan pam air sebagai persediaan menghadapi fenomena air pasang,” katanya.
Tambah Norfiza, MBDK juga mempunyai 17 dewan dan balai raya untuk dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) yang mampu menampung lebih 1,000 individu jika keadaan memburuk.
Jelasnya, lokasi tersebut antaranya Dewan Ahmad Razali, Dewan Meru, Dewan Pendamar Indah 2 dan Balairaya Sri Damak, dengan 12 kawasan panas air pasang besar dikenal pasti.
Lokasi itu, menurutnya, seperti Pengkalan Nelayan Tok Muda, Jeti Nelayan Sungai Sementa dan Jalan Banting Pandamaran, namun keadaan di kawasan tersebut dilaporkan masih terkawal.
"MBDK menasihatkan orang ramai sentiasa berwaspada dan elak beriadah di tepi pantai ketika air pasang besar,” katanya lagi.
Semalam, Pusat Operasi Bencana Daerah Klang (DDOC) mengeluarkan jadual air pasang surut dan taburan hujan susulan fenomena air pasang besar yang diramal mulai semalam hingga Sabtu.