SHAH ALAM, 18 SEPT: Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI bersedia mencungkil bakat mana-mana individu yang memiliki potensi luar biasa.
Ketuanya Ahmad Azri Zainal Nor berkata usaha itu terbukti dengan kejayaan cemerlang pemain termuda Liga Super Wanita Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Qaseh Rania Khairul Najib.
“Yayasan MBI sentiasa bersedia untuk mengetengahkan bakat-bakat luar biasa dari Selangor yang ada potensi untuk dibantu.
“Kami percaya ruang dan peluang kepada mereka ini perlu diberikan dengan sebaiknya untuk mereka pergi lebih jauh,” katanya ketika dihubungi.
Menjadikan Qaseh Rania sebagai contoh, Ahmad Azri menjelaskan satu kerugian sekiranya bakat dimiliki remaja berusia 14 tahun itu diabaikan.
“Qaseh Rania adalah satu contoh terbaik di mana bakat yang sebelum ini telah diabaikan oleh pelbagai pihak yang sepatutnya.
“Namun, pihak kami telah menyedari kemampuan sebenar Qaseh Rania dan bantuan yang diberikan ternyata tidak disia-siakan apabila beliau berjaya diserap masuk ke kelab gergasi Eropah baru-baru ini,” katanya.
[caption id="attachment_656403" align="alignnone" width="815"] Qaseh Rania Khairul Najib berlepas ke Jerman pada 6 Ogos 2024 bagi menjalani sesi percubaan bersama kelab VFL Wolfsburg. Foto Harun Tajudin/MEDIASELANGOR[/caption]
Sebelum ini, MBI membantu membangunkan bakat Qaseh Rania sejak 2020 termasuk menaja kos RM15,000 ketika mengikuti program latihan bersama kelab NK Osijek (Liga 1 Croatia) pada 2022.
Semalam, Qaseh Rania dilaporkan diserap ke kelab VFL Wolfsburg selepas lima minggu sesi percubaan di Jerman pada Ogos lalu.
Bapanya, Khairul Najib Ibrahim berkata anak kedua daripada empat beradik itu juga diberi kepercayaan untuk bermain dalam beberapa perlawanan persahabatan di sana.