SHAH ALAM, 18 SEPT: Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI berbangga dengan kejayaan Qaseh Rania Khairul Najib yang diserap ke kelab bola sepak VFL Wolfsburg.
Ketuanya Ahmad Azri Zainal Nor berkata pihaknya yakin pemain termuda Liga Super Wanita Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) itu mampu beraksi cemerlang, sekali gus mengharumkan nama negara.
“Tahniah saya ucapkan kepada Qaseh Rania kerana berjaya mencuri tumpuan VFL Wolfsburg. Saya amat yakin Qaseh Rania mampu menyerlah setelah berjaya buktikan kemampuannya semasa tempoh percubaan selama lima minggu,” katanya ketika dihubungi.
[caption id="attachment_656402" align="aligncenter" width="742"] Pemain Liga Super Wanita Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) Qaseh Rania Khairul Najib bersama Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor sebelum berlepas ke Jerman menjalani sesi percubaan dengan kelab VFL Wolfsburg. Foto Harun Tajudin/MEDIASELANGOR[/caption]
Beliau turut berharap kejayaan pemain berusia 14 tahun itu mendapat perhatian semua pihak terutama Persatuan Bolasepak Malaysia, termasuk membantu Qaseh Rania dalam urusan permit di VFL Wolfsburg.
“Saya yakin kerjasama semua pihak seperti FAM, Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Dalam Negeri amat ditagih dalam memastikan bakat besar ini beraksi di Bundesliga,” kata Ahmad Azri.
Bakat Qaseh Rania berjaya mencuri perhatian kejurulatihan kelab gergasi Eropah itu, namun bapanya Khairul Najib Ibrahim memohon bantuan semua pihak membantu urusan permit anaknya.
MBI membantu membangunkan bakat Qaseh Rania sejak 2020 termasuk menaja kos RM15,000 ketika mengikuti program latihan bersama kelab NK Osijek (Liga 1 Croatia) pada 2022.