ad
AGENSI

Insentif haji Selangor, lebih 14,000 jemaah terima manfaat sejak 2018

18 Sep 2024, 4:26 AM
Insentif haji Selangor, lebih 14,000 jemaah terima manfaat sejak 2018

SHAH ALAM, 18 SEPT: Lebih 14,000 jemaah di Selangor menerima manfaat Insentif Haji Muassasah sejak 2018 melibatkan peruntukan keseluruhan RM15 juta.

Ketua yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI berkata nilai insentif juga dinaikkan kepada RM1,000 tahun ini yang memanfaatkan seramai 6,000 jemaah sekali gus menjadi bukti komitmen negeri mengangkat nilai Islam.

"Tahun sebelum ini jumlah peruntukan insentif berjumlah RM1.5 juta. Seramai 3,000 jemaah terima manfaat. Setiap jemaah menerima RM500.

"Tahun ini insentif dinaikkan ke RM1,000 dengan 6,000 kuota disediakan. Yayasan MBI peruntuk RM3 juta manakala Kerajaan Negeri menambah RM3 juta menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan RM6 juta.” kata Ahmad Azri Zainal Nor ketika ditemui Media Selangor baru-baru ini.

Pada masa sama, beliau memaklumkan sebanyak 4,606 permohonan tahun ini sedang disaring sejak ditutup 23 Ogos lalu.

“Tahun ini jumlah permohonan paling tinggi. Sebelum ini insentif diberi mengikut konsep ‘first come first serve’. Kali ini insentif diberi kepada semua jemaah yang berdaftar di Tabung Haji. Mengikut rekod ada 5,100 jemaah muassasah di Selangor.

“Baki kuota mengikut permohonan melalui pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan masing-masing,” jelasnya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.