ad
AGENDA

Mihas ketengah produk usahawan negeri, tingkat potensi eksport

17 Sep 2024, 9:26 AM
Mihas ketengah produk usahawan negeri, tingkat potensi eksport
Mihas ketengah produk usahawan negeri, tingkat potensi eksport
Mihas ketengah produk usahawan negeri, tingkat potensi eksport

KUALA LUMPUR, 17 SEPT: Penyertaan syarikat pelbagai sektor di Pavilion Selangor sempena Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas) 2024 mengembangkan potensi pasaran eksport produk mereka.

Pengurus Besar Halal International Selangor (HIS) Toyyiba Sdn Bhd berkata Mihas yang diiktiraf pameran perdagangan halal terbesar dunia adalah platform promosi terbaik terutama usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana di Selangor.

Muhammad Syaril Showkat Ali berkata merangkumi pelbagai segmen seperti makanan dan minuman, logistik dan pergudangan serta kosmetik, tujuh syarikat dibawa ke Pavilion Selangor kali ini.

[caption id="attachment_663715" align="alignleft" width="396"] Pengurus Besar Halal International Selangor (HIS) Toyyiba Sdn Bhd Muhammad Syaril Showkat Ali[/caption]

“Kali ini berbeza berbanding tahun lalu, kita bawa tujuh syarikat di sini dan mungkin empat usahawan pada November nanti sempena Mihas@Dubai kerana Mihas sudah mengorak langkah ke peringkat luar negara.

“Sesi padanan perniagaan dan libat urus dengan pelbagai pihak di Mihas bakal membuka jalan lebih luas untuk produk dan perkhidmatan usahawan di bawa ke peringkat lebih tinggi.

“Selain itu ia memberi ruang untuk usahawan dan syarikat mendapatkan maklumat terkini dan kajian terbaru mengenai halal seperti sistem kebolehkesanan halal,” katanya.

Muhammad Syaril berkata pihaknya turut mempromosikan Persidangan Halal Antarabangsa Selangor (Selhac) 2024 yang akan berlangsung 16 hingga 19 Oktober ini bagi menarik lebih ramai penyertaan dalam program itu.

“Reruai kita sudah hampir 80 peratus terjual dengan tahun ini Selhac memfokuskan kepada proses kecekapan pensijilan halal, inovasi digital halal dan rantaian bekalan halal.

“Pada masa akan datang kita ada perancangan untuk menganjurkan Selhac bersama Mihas supaya dapat memperluaskan pasaran dan capaian lebih ramai,” katanya.

[caption id="attachment_663698" align="alignnone" width="848"] Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melawat reruai selepas merasmikan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas) 2024 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec), Kuala Lumpur pada 17 September 2024. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menandatangani plak perasmian Pavilion Selangor ketika sesi lawatan ke reruai pameran sempena Mihas 2024 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec).

Mihas 2024 dianjurkan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) bermula hari ini hingga 20 September di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec).

Pameran tahun ini dijangka menarik lebih 40,000 pengunjung perdagangan dan menampilkan 2,000 gerai pameran termasuk Pavilion Selangor selain pempamer dari 45 negara.

Mihas edisi ke-20 ini unik kerana menyaksikan pengenalan 14 kluster baharu termasuk kluster kelestarian dan kandungan bahan halal.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.