ad
AGENDA

Lelaki cedera parah pokok kekabu tumbang hempap rumah

17 Sep 2024, 4:07 AM
Lelaki cedera parah pokok kekabu tumbang hempap rumah

SUNGAI PETANI, 17 SEPT: Seorang lelaki berusia 34 tahun cedera parah di bahagian kepala selepas sebatang pokok kekabu tumbang lalu menghempap rumahnya dalam kejadian di Kampung Nyior, Bukit Selambau dekat sini awal pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Amanjaya, Penolong Penguasa Bomba Azahari Abdullah berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan memaklumkan mengenai kejadian pokok tumbang yang menghempap sebuah rumah kelas B (separuh batu, separuh papan) pada pukul 1.18 pagi tadi.

"Jentera tiba di lokasi pada pukul 1.44 pagi...apabila tiba di lokasi, didapati terdapat sebatang pokok tumbang dan menghempap sebuah rumah yang menyebabkan seorang lelaki berusia 34 tahun cedera parah di bahagian kepala.

"Tindakan awal anggota di lokasi, mengeluarkan mangsa dari dalam rumah dan rawatan awal dijalankan anggota Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum dibawa mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata operasi terkawal pada pukul 2.01 pagi dan kerja-kerja pembersihan pokok tumbang dilakukan oleh anggota di lokasi.

-BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.