KUALA LUMPUR, 17 SEPT: Kepesatan perkembangan ekosistem halal Malaysia hingga ke persada dunia membawa limpahan ekonomi kepada rakyat di segenap peringkat, kata perdana menteri.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata industri halal melebar merangkumi semua peringkat dan rantaian ekonomi termasuklah petani, nelayan serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana.
“Melalui industri halal kita mampu memenuhi aspek yang lemah, yang tidak dapat dikuasai umumnya dalam industri atau sektor kewangan yang sering dianggap elit oleh masyarakat.
“Industri halal ini dapat menyantuni dan menyentuh setiap petani, nelayan, perusahaan kecil dan sederhana malah kedai runcit kerana dapat memastikan penyertaan lebih meluas.
“Dalam mencapai maksud ekonomi Madani dan semangat maqasid syariah ia mesti menyantuni hampir keseluruhan rakyat. Kita akui institusi kewangan berjaya dalam beberapa bidang tetapi dengan industri halal ia telah melebar kepada suatu yang lebih menyeluruh,” katanya.
[caption id="attachment_663698" align="alignnone" width="833"] Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melawat reruai selepas merasmikan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas) 2024 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec), Kuala Lumpur pada 17 September 2024. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]
Berucap merasmikan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas) 2024 di sini, hari ini Anwar berkata pertumbuhan sektor halal bukan saja didorong populasi Islam seluruh dunia tetapi nilai tambah, kebersihan dan keasliannya.
“Ia mengangkat produk dan perkhidmatan halal Malaysia ke peringkat lebih tinggi. Kepentingan halal itu harus diteroka dan kenapa Islam mementingkannya.
“Halal kini diketahui bukan hanya berkaitan produk makanan tetapi kosmetik dan pelbagai lagi. Pameran seperti ini antaranya platform terbaik untuk kita terangkan halal bukan lagi hanya pemahaman tradiosional ‘no pork, no alcohol’ tetapi sangat luas konteksnya,” katanya.
Sementara itu, menteri pelaburan, perdagangan dan industri berkata pameran perdagangan antarabangsa seperti Mihas antaranya bagi menggalakkan ekosistem eksport Malaysia.
“Kita mahu wujudkan kluster eksport serta menarik syarikat global untuk menyumber produk dan perkhidmatan halal dari Malaysia termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana,” kata Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.
Mihas 2024 dianjurkan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) bermula hari ini hingga 20 September di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec).
Pameran tahun ini dijangka menarik lebih 40,000 pengunjung perdagangan dan menampilkan 2,000 gerai pameran termasuk Pavilion Selangor selain pempamer dari 45 negara.
Mihas edisi ke-20 ini unik kerana menyaksikan pengenalan 14 kluster baharu termasuk kluster kelestarian dan kandungan bahan halal.