SHAH ALAM, 17 SEPT: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan satu kes baharu cacar monyet atau mpox clade II membabitkan seorang lelaki warga tempatan, semalam.
Ketua pengarah kesihatan berkata pesakit menunjukkan gejala demam, sakit tekak dan batuk pada 11 September, manakala ruam mula muncul pada keesokan harinya.
“Pesakit tiada sejarah perjalanan ke luar negara dalam tempoh 21 hari sebelum gejala timbul, kini sedang dalam isolasi dan dalam keadaan stabil," kata Dr Muhammad Radzi Abu Hassan.
"Semua kontak bagi pesakit ini sedang dikenal pasti dan status kesihatan mereka akan dipantau mengikut tatacara operasi piawai (SOP) semasa yang ketat."
Dalam kenyataan hari ini, jelasnya, pesakit itu antara 58 kes disyaki mpox yang dirujuk ke bilik gerakan di Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) Kebangsaan, yang diaktifkan pada 16 Ogos.
Muhammad Radzi turut menasihatkan individu berisiko tinggi dan bergejala seperti demam, bengkak kelenjar limfa dan ruam/lepuh untuk mendapatkan rawatan di kemudahan kesihatan terdekat.
Beliau juga meminta orang ramai mengelak bersentuhan secara langsung dengan individu disyaki atau disahkan dijangkiti mpox, termasuk hubungan seksual serta mengamalkan kawalan kesihatan kendiri.
Sejak 26 Julai 2023, semua 10 kes di Malaysia daripada clade II sahaja.
Pada 14 Ogos, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan mpox sebagai kecemasan kesihatan awam global yang menjadi kebimbangan antarabangsa.