SHAH ALAM, 16 SEPT: Sejumlah 2,624 kilogram (kg) ikan bandar raya (pleco) ditangkap sepanjang lima hari program pemburuan ikan asing itu bermula pada 1 September lalu.
Timbalan Setiausaha Pertubuhan Komuniti Pemburu Ikan Bandaraya berkata perkembangan itu menunjukkan program berkenaan menerima sambutan menggalakkan daripada orang ramai.
“Hasil daripada tangkapan ikan bandar raya dilihat semakin berkurangan malahan ia juga dapat membantu nelayan darat mendapatkan hasil ikan daripada program 1kg RM1 dengan menggunakan jala.
“Setiap minggu kita menerima kira-kira 100 peserta, ada dalam kalangan orang yang sama ada juga berbeza,” kata Muhammad Izwan Ismail ketika dihubungi.
Beliau turut mempelawa orang ramai terus menyokong program itu yang berlangsung setiap hujung minggu hingga 29 September ini bagi menjayakan inisiatif memulihara sungai dan ekosistem spesies tempatan.
Bermula 1 September, Kerajaan Negeri memperuntuk RM50,000 bagi menganjurkan program tersebut dengan sasaran 50 tan tangkapan menjelang akhir bulan ini.
Tawaran insentif RM1 bagi setiap kilogram tangkapan ikan banda raya di Denai Sungai Kebangsaan sepanjang bulan ini melibatkan tarikh 1, 7, 8, 14, 15, 21, 22, 28 dan 29 mulai 8 pagi hingga 1 tengah hari.
Pada 10 September EXCO Pertanian Ir Izham Hashim dilaporkan berkata sebanyak 1.72 tan ikan bandar raya ditangkap sepanjang 1, 7 dan 8 September.
Menurut Izham semua hasil tangkapan dibawa ke pusat memproses khas untuk dilupus dan dijadikan makanan haiwan serta baja organik menggunakan Teknologi Bio-Nano Yanisys.