SHAH ALAM, 16 SEPT: Lebih 100 individu menyertai sambutan Hari Malaysia anjuran Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Gasing di Taman Tasik Taman Jaya, Petaling Jaya hari ini.
Wakil rakyatnya R Rajiv berkata program kali pertama dianjur itu bertujuan menghargai perpaduan dan kesatuan penduduk daripada pelbagai kaum, budaya dan agama.
“Penganjuran acara seperti ini juga dapat mengeratkan lagi pimpinan dengan penduduk setempat termasuk menyatukan pelbagai bangsa.
“Program hari ini bukan sahaja dihadiri masyarakat bangsa India sebaliknya Melayu, Cina juga sertai kita dan mengikuti beberapa permainan dan acara disediakan,” katanya ketika dihubungi.
Pelbagai pengisian menarik sepanjang program bermula jam 8 hingga 10 pagi antaranya agihan buah-buahan tempatan, menghias kek cawan bermotif Bendera Malaysia dan pemberian kuih tradisional.
Turut diadakan aktiviti permainan tradisional seperti congkak, karom dan dam haji termasuk reruai bergambar bersama keluarga.