KUALA LANGAT, 16 SEPT: Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya membelanjakan lebih RM50,000 untuk memastikan kebajikan warganya terjamin, kata wakil rakyatnya.
Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad atau lebih dikenali Altimet berkata inisiatif termasuk sumbangan kerusi roda, katil pesakit selain bantuan kewangan.
“Untuk tahun pertama pentadbiran, program banyak tertumpu kepada menyantuni kebajikan penduduk kerana ini yang paling mustahak kerana jika ada banyak program lain, tapi isu kebajikan tidak ditangani tidak boleh juga.
“Ia termasuk sumbangan kerusi roda, katil orang sakit serta bantuan kewangan seperti pembayaran bil elektrik walaupun tidak diselesai penuh tetapi sekurang-kurangnya bantu mereka meneruskan kelangsungan hidup.
[caption id="attachment_663539" align="alignleft" width="417"] ADN Lembah Jaya Syed Ahmad Abdul Rahman bercakap kepada Media Selangor ketika aktiviti pembersihan pantai sempena program konvoi motosikal Hari Malaysia Team Selangor di Dataran Pantai Batu Laut, Kuala Langat pada 15 September 2024. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]
“Selepas isu kebajikan reda, selepas ini kita akan tumpu kepada program kemasyarakatan, pemberdayaan wanita, ekonomi penjagaan dan keusahawanan,” katanya.
Mengulas lanjut katanya setiap bulan beliau akan memastikan isu kebajikan seperti keperluan kerusi roda dan perkara berkaitan diselesaikan bagi memastikan pemohon tidak menunggu lama.
“Keperluan seperti ini mendesak. Jadi kita tidak boleh buat orang tertunggu-tunggu. Sebab itu saya pastikan bila ada orang mohon dan menepati kriteria kita cuba sedaya upaya bantu,” katanya.