SHAH ALAM, 16 SEPT: Dato’ Menteri Besar menyeru umat Islam meningkatkan amalan berselawat terhadap junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Facebook memaklumkan Rasulullah adalah insan terbaik dan perlu dicontohi dan menjadi panduan seluruh umat manusia.
“Di seluruh dunia, tarikh 12 Rabiulawal diingati sebagai tarikh utama, peristiwa kelahiran Nabi Muhammad SAW menjadi catatan sejarah yang penting dalam peradaban manusia.
“Marilah bersama-sama kita tingkatkan amalan selawat kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW dan mengamalkan sunnah Baginda,” katanya.
Dalam pada itu Amirudin turut mengucapkan Selamat Hari Malaysia dan menyeru masyarakat memelihara serta menyayangi negara ini.
“Perpaduan adalah elemen yang membentuk keunikan Malaysia. Menyatukan rakyat pelbagai bangsa, agama dan adat resam. Malaysia adalah ramuan pelbagai rencam yang istimewa.
“Bumi bertuah yang keramat ini harus dipelihara dan disayangi. Dengan semangat perpaduan yang jitu dan kukuh, kita pasti mara sederap dan seirama demi meletakkan Malaysia selaku negara ulung di seantero dunia. Malaysia, tanah tumpahnya darahku,” tulisnya.