ad
SELANGOR

Tanam sayur di rumah menerusi kit pertanian bandar, empat kitaran tanaman

16 Sep 2024, 12:43 AM
Tanam sayur di rumah menerusi kit pertanian bandar, empat kitaran tanaman

SERDANG, 16 SEPT: "Satu rumah, satu tanaman", itulah yang menjadi aspirasi Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) dalam memperkenalkan Kit Pertanian Bandar buat orang ramai.

Ketua Jabatan Nafas Agri Services Sdn Bhd Abdul Khaliq Rahim berkata dengan pengenalan kit berkenaan, Nafas berharap ia dapat memudahkan lebih banyak keluarga di kawasan bandar mula menanam sayur di rumah masing-masing.

Beliau berkata kit yang dijual pada harga RM40 itu lengkap dengan segala keperluan untuk menanam sayur di rumah yang mengandungi bekas tanaman, tanah, benih dan baja 15/15/15 keluaran Nafas.

"Kita galakkan setiap rumah mempunyai satu tanaman kerana di samping satu amalan yang lestari, ia juga dapat membantu menampung sedikit beban kos sara hidup.

"Dengan kit ini, orang ramai boleh dapati bahawa ia sebenarnya sangat mudah untuk menanam sayur sendiri di rumah dan sayur-sayuran yang disediakan juga adalah jenis yang mudah tumbuh dan dijaga," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi demonstrasi Kit Pertanian Bandar ketika Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024 di sini semalam.

Abdul Khaliq berkata setiap kit boleh digunakan bagi tiga atau empat kitaran tanaman dengan setiap kitaran mengambil masa kira-kira sebulan sebelum sayuran yang ditanam matang dan sedia untuk dituai.

Orang ramai boleh mendapatkan kit itu pada harga istimewa iaitu RM35 di reruai Nafas sepanjang MAHA 2024 sehingga 22 September ini, kata beliau.

"Kit ini juga boleh dibeli di pejabat Nafas, laman Shopee Pemasaran Nafas serta agen dilantik," tambahnya.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.