KUALA LANGAT, 16 SEPT: Perkhidmatan ambulans secara percuma yang disediakan Ahli Dewan Negeri (ADN) Tanjung Sepat memanfaatkan lebih 3,000 pengguna.
Datuk Borhan Aman Shah berkata perkhidmatan sejak 2021 itu bagi memudahkan penduduk ke hospital mendapatkan rawatan.
“Perkhidmatan ini khusus untuk penduduk Tanjung Sepat terutama yang kurang berkemampuan membayar perkhidmatan ambulans swasta.
“Biasanya kita gunakan untuk menghantar atau mengambil pesakit dari hospital untuk pulang ke rumah di Tanjung Sepat atau mereka yang ingin mendapatkan rawatan susulan.
[caption id="attachment_663525" align="alignleft" width="500"] ADN Tanjung Sepat Datuk Borhan Aman Shah bercakap kepada Media Selangor ketika aktiviti pembersihan pantai sempena program konvoi motosikal Hari Malaysia Team Selangor di Dataran Pantai Batu Laut, Kuala Langat pada 15 September 2024. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]
“Hospital terdekat adalah Hospital Banting, kira-kira 30 minit dari sini dan jika menggunakan perkhidmatan ambulans swasta agak mahal,” katanya ditemui dalam program konvoi motosikal Hari Malaysia Team Selangor di Kampung Ladang Batu di sini semalam.
Borhan berkata berikutan sambutan menggalakkan pihaknya akan menambah sebuah lagi ambulans menjadikan dua keseluruhannya.
“Kita juga mendapat panggilan daripada penduduk luar Tanjung Sepat meminta perkhidmatan ini namun terpaksa tolak kerana luar kawasan,” katanya.
Sebelum ini Borhan berkata penduduk DUN Tanjung Sepat boleh menghubungi nombor talian 03-3148 1029, 011-2351 3004, 018-465 8184 untuk mendapatkan perkhidmatan ambulans percuma.
[caption id="attachment_663414" align="aligncenter" width="1086"] Sukarelawan mengutip sampah ketika aktiviti pembersihan pantai sempena program konvoi motosikal Hari Malaysia Team Selangor di Dataran Pantai Batu Laut, Kuala Langat pada 15 September 2024. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]