ad
EXCO

Projek Selangor Penyayang, dana RM250,000 baik pulih kemudahan awam, sukan

15 Sep 2024, 1:30 PM
Projek Selangor Penyayang, dana RM250,000 baik pulih kemudahan awam, sukan

KUALA LANGAT, 15 SEPT: Sejumlah RM250,000 diperuntuk untuk membaik pulih infrastruktur awam dan kemudahan sukan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Sepat.

Wakil rakyatnya berkata dana negeri di bawah Projek Selangor Penyayang (PSP) digunakan untuk membaiki jalan rosak, baik pulih balai raya, padang futsal dan penyediaan tapak parkir kenderaan.

“Dana itu telah kita manfaatkan dengan maksimum terutama untuk keperluan mendesak dan diagihkan kepada beberapa sektor seperti baik pulih balai raya, jalan raya dan padang futsal.

“Contohnya padang futsal kita ganti pagar dan lampu supaya anak muda dapat beriadah dengan selesa,” kata Datuk Borhan Aman Shah ditemui hari ini.

Borhan berkata peruntukan seperti PSP wajar diteruskan kerana ia membantu wakil rakyat menyelesaikan beberapa isu setempat terutama berkait baik pulih infrastruktur.

“Saya harap ia diteruskan cuma mungkin perlu dikaji juga daripada segi bilangan penduduk sesebuah kawasan. Kawasan besar yang ada penduduk ramai mungkin boleh dipertimbang peruntukan lebih demi pembangunan dan keselesaan rakyat,” katanya.

Dato’ Menteri Besar ketika membentang Belanjawan 2024, memaklumkan RM24 juta diperuntuk bagi meningkatkan kualiti fasiliti awam dan membina prasarana baharu.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata RM10 juta diperuntuk bagi mengecat dan memperbaiki fasiliti pangsapuri kos rendah serta sederhana melebihi 15 tahun manakala RM14 juta diperuntuk kepada 56 DUN dengan setiap daripadanya menerima RM250,000.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.