OLEH AZRIN MUHAMMAD
RAWANG, 15 SEPT: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam sedia memberi pandangan kepada Selangor dalam usaha menjadikan Sungai Klang sebagai sumber bekalan air baharu kepada penduduk menjelang 2025.
Menterinya Nik Nazmi Nik Ahmad berkata inisiatif yang dijalankan Kerajaan Negeri perlu dipuji apabila berjaya meningkatkan kelas kualiti air sungai berkenaan, namun perlu dipantau rapi.
"Sebelum ini keadaan Sungai Klang agak teruk tetapi dengan langkah-langkah yang telah diambil seperti menggunakan The Interceptor dan juga Projek River of Life, kita telah lihat peningkatan malah dari segi kelas air.
[caption id="attachment_663484" align="alignleft" width="499"] Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR[/caption]
"Selain itu Dasar Pelepasan Sifar (ZDP) dan Prinsip Pencemar Membayar (PPP) yang dilaksanakan Selangor juga mampu membantu kita mengelakkan bahan tercemar dapat masuk ke dalam Sungai Klang.
"Kementerian bersedia untuk terus beri pandangan dan input," katanya selepas merasmikan Program Kelestarian Alam Sekitar (PROKAS) 2024 di Taman Eko Rimba Kanching, Rawang, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas hasrat Kerajaan Negeri menjadikan Sungai Klang sebagai sumber bekalan air baharu menjelang 2025 bagi menampung permintaan 9 juta penduduk Lembah Klang.
Hasrat itu juga adalah antara yang dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Air Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya dua hari lalu.
PROKAS 2024 peringkat Daerah Gombak disertai lebih 100 peserta merangkumi semua lapisan masyarakat menjalankan beberapa aktiviti termasuk menanam 100 anak pokok, membersihkan kawasan sekitar dan juga sungai.
Turut hadir, Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen.