ad
AGENDA

KPKM, Agrobank lancar skim takaful tanaman padi lindungi pesawah

14 Sep 2024, 2:20 PM
KPKM, Agrobank lancar skim takaful tanaman padi lindungi pesawah

PUTRAJAYA, 14 SEPT: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melalui Agrobank melancarkan Skim Perlindungan Takaful Agromakanan: Skim Takaful Tanaman Padi (STTP) pertama di Malaysia yang akan dimanfaatkan pesawah seluruh negara.

Diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2024, skim patuh syariah itu merupakan sebahagian daripada Belanjawan 2024, dengan dana permulaan RM50 juta bagi memberi perlindungan kepada pesawah.

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin dalam kenyataan berkata perlindungan takaful itu menawarkan hingga RM3,000 untuk bencana alam.

"Bagi serangga perosak dan penyakit tanaman pula, perlindungan hingga RM1,500 daripada jumlah perlindungan asal semusim per hektar bagi setiap pesawah. Ia jumlah yang lebih tinggi berbanding tabung bencana sedia ada,” katanya.

Beliau berkata bagi tahun pertama pengenalannya, kerajaan menanggung sepenuhnya bayaran premium RM120 setahun bagi setiap hektar untuk dua musim penanaman manakala skim terbabit terbuka kepada semua pesawah individu di seluruh negara, dengan kaedah pendaftaran dipermudah di pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan berhampiran.

Inisiatif berkenaan membuktikan keprihatinan kerajaan dalam membantu pesawah seluruh negara ketika menghadapi bencana alam di samping memperkukuh rantaian makanan negara melalui inisiatif dilancarkan KPKM melalui Agrobank.

Untuk maklumat lanjut berkaitan Skim Takaful Tanaman Padi, layari www.agrobank.com.my atau berkunjung ke cawangan Agrobank berdekatan.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.