SHAH ALAM, 14 SEPT: Kanak-kanak yang diselamatkan dari rumah amal dikaitkan dengan Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) baru-baru ini berada dalam perlindungan dan penjagaan sewajarnya.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri memberi jaminan kebajikan kesemua kanak-kanak terbabit sentiasa terpelihara.
“Kanak-kanak yang diselamatkan itu kini berada di tempat selamat, di bawah jagaan JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) dan pengawasan PDRM (Polis Diraja Malaysia).
“Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui JKM terlibat dari awal dalam operasi ini.
“Kami sentiasa prihatin terhadap kebajikan kanak-kanak dan tugas JKM dalam hal ini adalah memberi perlindungan, penjagaan dan sokongan sewajarnya kepada kanak-kanak yang diselamatkan,” katanya di laman X.
Nancy turut menghargai orang awam, badan bukan kerajaan (NGO) dan semua pihak yang menyuarakan keprihatinan terhadap kebajikan kanak-kanak ini.
“Sokongan anda semua amat dihargai dan kami akan terus menjalankan tanggungjawab demi kepentingan terbaik kanak-kanak.
“Sebarang maklumat lanjut mengenai operasi ini saya serahkan kepada komunikasi oleh pihak PDRM,” katanya.
Polis pada Rabu menahan 171 individu dalam serbuan ke atas 20 rumah amal sekitar Selangor dan Negeri Sembilan yang didakwa mengeksploitasi kanak-kanak dan agama melalui Op Global.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata terdiri 66 lelaki dan 105 wanita iaitu penjaga, ustaz dan pengerusi rumah amal, semuanya berusia lingkungan 17 hingga 64 tahun.
Menurut Razarudin melalui Op Global 402 individu, masing-masing 201 lelaki dan 201 perempuan berusia antara setahun hingga 17 tahun diselamatkan dan ditempatkan di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur.