ad
AGENDA

EXCO: Jais beri kerjasama penuh kepada polis berhubung isu GISB

14 Sep 2024, 8:00 AM
EXCO: Jais beri kerjasama penuh kepada polis berhubung isu GISB
EXCO: Jais beri kerjasama penuh kepada polis berhubung isu GISB
EXCO: Jais beri kerjasama penuh kepada polis berhubung isu GISB

SHAH ALAM, 14 SEPT: Kerajaan Negeri menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk menyiasat kes eksploitasi kanak-kanak dan agama Islam membabitkan Global Ikhwan Service and Business Holding (GISB).

EXCO Agama Islam Dr Fahmi Ngah berkata Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan agensi berkaitan sudah memberi kerjasama yang diperlukan untuk melengkapkan siasatan polis.

[caption id="attachment_663267" align="aligncenter" width="816"] EXCO Agama Islam Dr Fahmi Ngah berucap pada Majlis Penutup Kursus Persediaan Pelajar ke Luar Negara anjuran Jabatan Agama Islam Selangor di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Shah Alam pada 14 September 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR[/caption]

“Saya dimaklumkan Jais telah beri kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis untuk jalankan siasatan kerana ia membabitkan undang-undang sivil.

“Kerajaan Negeri bersedia dan telah beri kerjasama penuh kepada pihak berkuasa. Tunggu kenyataan lanjut dari Majlis Agama Islam Selangor (Mais),” katanya kepada pemberita.

Terdahulu beliau merasmikan Majlis Penutup Kursus Persediaan Pelajar Ke Luar Negara anjuran Jais di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam di sini, hari ini.

[caption id="attachment_663234" align="aligncenter" width="814"] Ketua Jabatan Pengurusan Pendidikan LZS Saiful Anuar Abdullah Salleh menyampaikan cek cura kepada Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan Islam Jais Anas Ayob sambil disaksikan oleh EXCO Agama Islam Dr Fahmi Ngah pada Majlis Penutup Kursus Persediaan Pelajar ke Luar Negara anjuran Jais di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Shah Alam pada 14 September 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR[/caption]

Program meraikan 81 pelajar yang akan melanjutkan pelajaran ke Mesir, Jordon dan Maghribi itu turut dihadiri Pengarah Jais Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad.

Khamis lalu, Jais menerusi kenyataan memaklumkan sedang melaksanakan pemantauan berterusan berhubung aktiviti ahli GISB yang dikaitkan dengan kumpulan Al-Arqam dan Rufaqa'.

GISB terpalit kontroversi selepas 20 premis membabitkan pusat jagaan dan rumah amal kendaliannya diserbu polis pada 11 September lalu.

Dalam serbuan terbabit, polis menyelamatkan 402 kanak-kanak dan remaja berusia satu hingga 17 tahun, selain menahan 171 individu yang mengendalikan premis untuk siasatan lanjut.

Berdasarkan maklumat risikan, mangsa diliwat oleh penjaga dan turut dipaksa meliwat penghuni kanak-kanak yang lain.

Mangsa yang sakit juga tidak dibenarkan mendapatkan rawatan di klinik selain terdapat juga kes mangsa dicederakan dengan objek panas sebagai hukuman atas kesilapan dilakukan.

Semalam, Kerajaan Negeri berkata pihaknya tidak teragak-agak untuk menarik lesen operasi dan mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pusat tahfiz atau sekolah agama yang terlibat dalam kes berkaitan eksploitasi kanak-kanak dan agama Islam.

Dr Mohammad Fahmi turut meminta orang awam yang mempunyai maklumat berkenaan sekolah agama atau pusat tahfiz yang melakukan perkara terlarang untuk melaporkan terus kepada Jais menerusi talian 1800-88-2424.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.