ad
AGENDA

EXCO: Tarik lesen operasi pusat tahfiz, sekolah agama eksploitasi kanak-kanak

13 Sep 2024, 7:04 AM
EXCO: Tarik lesen operasi pusat tahfiz, sekolah agama eksploitasi kanak-kanak

SHAH ALAM, 13 SEPT : Kerajaan Negeri tidak teragak-agak untuk menarik lesen operasi dan mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pusat tahfiz atau sekolah agama yang terlibat dalam kes berkaitan eksploitasi kanak-kanak dan agama Islam.

EXCO Agama Islam Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) sedang menjalankan pemantauan rapat, semakan dan saringan terhadap pusat tahfiz serta sekolah agama yang berdaftar dan belum berdaftar di negeri ini.

“Kerajaan Selangor komited dalam memastikan keselamatan pusat tahfiz dan sekolah agama dari menjadi pusat exploitasi kanak-kanak dan sebaran ajaran yang bercanggah dengan agama Islam.

“Kerajaan Selangor sentiasa bertanggungjawab dalam menjamin kesucian agama Islam dari anasir jahat dan sesat yang memudaratkan umat Islam,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dr Mohammad Fahmi turut meminta orang awam yang mempunyai maklumat berkenaan sekolah agama atau pusat tahfiz yang melakukan perkara terlarang untuk melaporkan terus kepada Jais menerusi talian 1800-88-2424.

“Sebuah pasukan siasatan khas Jais ditubuhkan dan sedang giat aktif menjalankan siasatan. Saya harap tindakan tegas segera diambil untuk kesalahan yang berjaya dibuktikan,” katanya.

Kelmarin, polis menahan 171 individu dalam serbuan ke atas 20 rumah amal sekitar Selangor dan Negeri Sembilan yang didakwa mengeksploitasi kanak-kanak dan agama melalui Op Global.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata terdiri 66 lelaki dan 105 wanita iaitu penjaga, ustaz dan pengerusi rumah amal, semuanya berusia lingkungan 17 hingga 64 tahun.

Menurut beliau, 402 kanak-kanak, masing-masing 201 lelaki dan 201 perempuan berusia antara setahun hingga 17 tahun diselamatkan dan ditempatkan di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur.

Berdasarkan maklumat risikan, mangsa diajar untuk meliwat dan seterusnya mangsa diliwat oleh penjaga dan dipaksa untuk meliwat penghuni kanak-kanak yang lain.

Mangsa yang tidak sihat juga tidak dibenarkan mendapatkan rawatan di klinik hingga keadaan kritikal, selain suspek menggunakan objek panas bagi mencederakan mangsa sebagai tanda menghukum atas kesilapan dilakukan.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.