SHAH ALAM, 13 SEPT: Usahawan dan pempengaruh dipelawa menyertai program keusahawanan digital secara percuma menerusi Program Selangor 1,000 Digital pada 3 Oktober depan.
Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) berkata program itu diadakan di Balroom, Hotel Mercure Selangor, Selayang bermula jam 9 pagi hingga 5 petang.
“Para usahawan, bakal usahawan, dan calon pempengaruh di Selangor, ini peluang anda. Jom sertai Program Selangor 1,000 Digital siri terakhir yang kelima di Gombak.
“Terhad kepada 200 peserta, jangan lepaskan peluang belajar secara percuma daripada pakar industri,” katanya menerusi Facebook.
Pengisian program termasuk menimba ilmu berkaitan e-dagang dan pendigitalan daripada pakar industri antaranya TikTok Shop, Touch ‘n Go eWallet dan Maxis Business.
Mereka yang berminat boleh daftar segera menerusi pautan https://tinyurl.com/S100DGombak
Sebelum ini, EXCO Keusahawanan Mohd Najwan Halimi berkata Kerajaan Negeri memperkenalkan program Selangor 1,000 Digital bagi memperluaskan transformasi digital dalam kalangan usahawan tempatan.
Program itu menjelajah ke lima lokasi bermula di daerah Petaling, Sabak Bernam, Sepang, Hulu Langat dan Gombak.
Ia adalah kolaborasi antara Sidec, Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor (Upen) dan Platform Selangor (PLATS).
Menerusi program ini terdapat 10 topik latihan antaranya pengurusan perniagaan secara digital dan teknik penciptaan kandungan menarik untuk memberi pendedahan kepada peserta berkaitan tranformasi pendigitalan supaya dapat menjana pendapatan dan perkhidmatan mereka.