Oleh Amar Shah Mohsen
SHAH ALAM, 13 SEPT: Selangor Red Giants (SRG) akan mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai pembangunan dalam e-sukan.
EXCO Sukan berkata beliau akan mengetuai pengurusan SRG pada pertemuan itu yang akan membincangkan peluang membangunkan ekosistem e-sukan dengan sokongan penuh dari Kerajaan Persekutuan.
[caption id="attachment_652646" align="aligncenter" width="746"] EXCO Belia Sukan Mohd Najwan Halimi ditemui media selepas menyambut ketibaan pasukan Selangor Red Giants (SRG) yang menjuarai kejohanan Mid Season Cup (MSC) Mobile Legend Bang Bang di Riyadh Arab Saudi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada 17 Julai 2024. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
“Minggu lalu, Perdana Menteri mengumumkan peruntukan sejumlah RM15 juta buat pasukan Harimau Malaya.
“Jadi, saya berpandangan kerajaan juga boleh memberi perhatian sama terhadap pembangunan e-sukan kerana kita telah membuktikan dengan kejayaan memenangi kejohanan dunia,” kata Najwan Halimi.
Beliau berkata demikian pada program bual bicara Lunch On Us! terbitan Selangor Journal, semalam.
Pada 3 September lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan sebanyak RM15 juta bagi memperkasakan pasukan bola sepak negara, Harimau Malaya.
Julai lalu, SRG menamatkan kemarau tujuh tahun Malaysia untuk menjuarai aksi antarabangsa e-sukan selepas menumbangkan Filipina Falcons AP Bren Sport 4-3 di kejohanan Mid Season Cup Mobile Legend Bang Bang (MLBB).
Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah menyifatkan kemenangan pasukan SRG dalam kejohanan MLBB di Arab Saudi sebagai kejayaan luar biasa dan pencapaian bersejarah.
[caption id="attachment_652603" align="aligncenter" width="782"] Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari bersama Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abd Halim serta EXCO Sukan Najwan Halimi menyambut ketibaan pasukan Selangor Red Giants (SRG) yang menjuarai kejohanan Mid Season Cup (MSC) Mobile Legend Bang Bang di Riyadh, Arab Saudi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada 17 Julai 2024. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Najwan menambah kejayaan SRG di pentas dunia tersebut meraih perhatian negeri lain untuk melabur bagi membangunkan e-sukan.
Terdahulu, Najwan memaklumkan Kerajaan Negeri melalui Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI memperuntukkan dana RM200,000 hingga RM300,000 setiap tahun untuk pengurusan pasukan SRG.
“Bantuan kewangan buat pengurusan kelab seperti latihan, emolumen, pemakanan, program kecergasan mental dan fizikal termasuk pembangunan akademik dan sahsiah,” katanya.