ad
AGENDA

Dakwa disamun, rupanya jual barang kemas buat modal judi

12 Sep 2024, 2:07 PM
Dakwa disamun, rupanya jual barang kemas buat modal judi

KUANTAN, 12 SEPT: Polis mengesan satu laporan palsu dibuat seorang tukang kebun yang mendakwa dirinya disamun oleh tiga lelaki di Genting Highlands, semalam.

Ketua Polis Daerah Bentong Supt Zaiham Mohd Kahar berkata lelaki warga tempatan berusia 26 tahun itu membuat laporan kira-kira 11 malam.

Beliau berkata suspek membuat laporan palsu mendakwa telah disamun oleh tiga lelaki menggunakan sebilah pisau hingga menyebabkannya mengalami kerugian RM20,400.

“Hasil siasatan dan pemeriksaan di tempat kejadian serta rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati mangsa sebenarnya telah berjumpa dengan sorang lelaki dan menjual sebentuk cincin emas, sebuah telefon bimbit serta seutas rantai leher untuk berjudi.

“Susulan kejadian tersebut, polis telah membuat laporan terhadap lelaki berkenaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan polis palsu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Zaiham memberi amaran kepada orang awam supaya tidak membuat laporan palsu dan tindakan undang-undang akan dikenakan kepada mereka yang terlibat.

-BERNAMA

 

 

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.