SHAH ALAM, 12 SEPT: Sejumlah RM1.7 juta diperuntuk bagi menaik taraf Padang Awam Taman Ehsan, Kepong selain memasang lampu diod pemancar cahaya (LED).
Ahli Dewan Negeri Bukit Lanjan Pua Pei Ling berkata peruntukan itu menggunakan sepenuhnya dana Majlis Perbandaran Selayang.
“Kerja menaik taraf Padang Awam Taman Ehsan kini sedang giat dijalankan sejak 1 Julai dan kita jangka projek ini akan siap pada 16 Disember ini jika tiada aral melintang.
“Antara kerja adalah membina kabin, tambahan beberapa alatan senaman, kerusi, pemasangan papan tanda, pagar net, naik taraf tandas, stor dan lampu LED,” katanya ketika dihubungi.
Pei Ling berharap orang ramai dapat memanfaatkan sebaiknya kemudahan itu dengan melakukan aktiviti riadah bersama keluarga selain tidak merosakkan peralatan yang disediakan.
“Pembangunan ini adalah sebahagian daripada usaha kita untuk memastikan kawasan Bukit Lanjan terus maju dengan infrastruktur yang selesa dan selamat buat semua penduduk. Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan projek ini.
“Kita harap apabila padang ini siap dinaik taraf kelak, penduduk sekitar dapat beriadah dengan lebih gembira selain tidak melakukan perbuatan vandalisme,” katanya.