ad
AGENDA

Jais: Lapan sekolah berdaftar ada kaitan GISBH, dua diserbu polis

12 Sep 2024, 9:42 AM
Jais: Lapan sekolah berdaftar ada kaitan GISBH, dua diserbu polis

SHAH ALAM, 12 SEPT: Lapan sekolah yang berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) disyaki ada kaitan dengan Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH).

Namun, Pengarah Jais Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad berkata dua menutup operasi sukarela, tamat pendaftaran (dua), beroperasi hingga 2028 (tiga) manakala satu ditarik balik pendaftaran.

Beliau menjelaskan dua daripada 18 premis yang diserbu polis semalam berdaftar dengan jabatan berkenaan iaitu Sekolah Rendah Islam Integrasi Miftahul Hikmah dan Maahad Tahfiz Wal Ulum Al-Ghazaly.

"Pemantauan dibuat pada 13 Januari dan 23 Mac 2023 serta 26 Julai lalu mendapati tidak wujud sebarang penyelewengan," katanya merujuk Sekolah Rendah Islam Integrasi Miftahul Hikmah.

Mohd Shazihan berkata pendaftaran Maahad Tahfiz Wal Ulum Al-Ghazaly sejak 12 November 2014 pula tamat hujung tahun ini tetapi tidak dinyatakan sama ada berlaku kegiatan bertentangan undang-undang atau agama.

"Maahad ini terdiri daripada tiga kakitangan dan 54 pelajar lelaki dengan menggunakan kurikulum tahfiz sendiri," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau memberitahu Jais akan mengambil tindakan sewajarnya mengikut Enakmen Pengawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam 1988 berikutan serbuan dan penemuan polis.

Semalam, polis menahan 171 individu dalam serbuan ke atas 20 rumah amal sekitar Selangor dan Negeri Sembilan yang didakwa mengeksploitasi kanak-kanak dan agama melalui Op Global.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata terdiri 66 lelaki dan 105 wanita iaitu penjaga, ustaz dan pengerusi rumah amal, semuanya berusia lingkungan 17 hingga 64 tahun.

Menurut beliau, 402 individu, masing-masing 201 lelaki dan 201 perempuan berusia antara setahun hingga 17 tahun diselamatkan dan ditempatkan di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur.

GISBH yang sebelum ini menafikan kaitannya dengan al-Arqam menafikan dakwaan terhadap mereka dan menganggap tuduhan sedemikian bertujuan menimbulkan prasangka, fitnah dan berniat jahat.

Bulan lalu, EXCO Agama Islam Dr Fahmi Ngah berkata Jais giat memantau beberapa kumpulan ajaran sesat yang dikesan bergerak aktif di Selangor dan mereka berdepan tindakan tegas.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.