SHAH ALAM, 12 SEPT: Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Kembangan bekerjasama dengan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dalam menangani kegiatan pelupusan sampah haram.
Wakil rakyatnya berkata MBSJ menutup laluan masuk menggunakan batu penghadang ke lokasi yang kerap dijadikan tempat pembuangan di Jalan Kasturi Seri Kembangan, Subang Jaya.
Wong Siew Ki memaklumkan MBSJ membelanjakan sejumlah RM138,600 bagi penutupan jalan dan kerja pengorekan tanah di kawasan yang dijadikan tapak pelupusan itu tahun ini.
[caption id="attachment_662950" align="alignleft" width="394"] ADN Seri Kembangan Wong Siew Ki. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR[/caption]
“Kegiatan ini dikesan sejak 2022 oleh kontraktor binaan rumah yang tidak berdaftar dengan MBSJ membuang sisa pepejal di kawasan ini.
“Untuk rekod tahun ini, sebanyak lima kali kami bersama MBSJ turun di sini untuk penutupan. Ia disebabkan tindakan mereka menceroboh semula kawasan untuk jalani kegiatan haram mereka,” katanya.
Terdahulu beliau meninjau kerja penutupan laluan masuk tapak sampah haram berkenaan bersama Ahli Majlis MBSJ Zon 22 Tey Boon Kiat.
Siew Ki turut menggesa Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) mengenakan tindakan rampasan tanah bagi menangani kegiatan pihak yang tidak bertanggungjawab itu.
[caption id="attachment_662951" align="alignright" width="349"] Ahli Majlis MBSJ Tey Boon Kiat. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR[/caption]
“Pihak berkuasa tempatan mengeluarkan kos yang tinggi untuk menghadapi isu ini, saya melihat ia satu kerugian besar.
“Tindakan tegas perlu diambil PTD kerana kegiatan ini sudah berlanjutan sejak sekian lama demi kesejahteraan penduduk Seri Kembangan,” ujarnya.
Sementara itu, Boon Kiat berpandangan tindakan penguatkuasaan perlu dibuat terhadap individu atau syarikat yang membuang sampah pada kawasan itu.
“Saya akan berbincang dengan MBSJ untuk mengambil tindakan kompaun mengikut Akta 133 di bawah Seksyen 33 dan 34,” katanya.