Oleh Yasmin Ramlan
SHAH ALAM, 12 SEPT: Pameran Udara Selangor (SAS) yang memasuki edisi keempat berperanan penting dalam menonjolkan keupayaan negeri kepada dunia, kata EXCO Pelaburan Ng Sze Han.
Berlangsung dari 12 hingga 14 September, menurutnya, pameran itu turut memperkenal beberapa program baharu untuk khalayak dan peminat penerbangan, termasuk paparan kereta eksotik.
“Saya sangat berbangga untuk mengumumkan Selangor juga menganjurkan Anugerah Wanita dalam Penerbangan buat kali pertama,” katanya pada majlis pembukaan SAS 2024 di sini hari ini.
"Kurang 20 peratus wanita bekerja dalam sektor penerbangan di seluruh dunia, justeru jelas usaha kita untuk mencipta peluang bagi semua dalam bidang ini mesti diteruskan."
[caption id="attachment_662932" align="aligncenter" width="749"] Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan melawat pameran selepas majlis perasmian Pameran Udara Selangor (SAS) 2024 di Pusat Penerbangan Serantau (RAC) Skypark, Shah Alam pada 12 Septembar 2024. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Anugerah yang dianjurkan bersama Women in Aviation Asia, Persatuan Penerbangan Perniagaan dan Am Malaysia serta Women@MAG mengiktiraf sumbangan luar biasa wanita dalam industri tersebut.
Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan menghadiri majlis tersebut bersama Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari dan pimpinan negeri lain.
Dalam pada itu, Sze Han berkata pameran kerjaya turut diadakan bermula esok - sebahagian acara pameran tersebut, bagi mencari bakat dan tenaga kerja dalam industri penerbangan.
“Pameran ini akan menawarkan pelbagai peluang bagi mereka yang ingin mengembangkan kerjaya dalam sektor aeroangkasa dan penerbangan bagi merapatkan jurang bakat dan memastikan aliran berterusan tenaga kerja berkemahiran untuk masa depan,” katanya.
[caption id="attachment_662933" align="aligncenter" width="721"] Pelawat melihat pelbagai model pesawat dan kapal terbang sempena Pameran Udara Selangor (SAS) 2024 di Pusat Penerbangan Serantau (RAC) Skypark, Shah Alam pada 12 Septembar 2024. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Tahun ini, Selangor turut menganjurkan ceramah dan forum antaranya berkaitan kelestarian, pengurusan rantaian bekalan dalam perniagaan dan penerbangan am, operasi mencari dan menyelamat.
SAS 2024 akan menampilkan penceramah antarabangsa dari Filipina, Indonesia, Singapura, Amerika Syarikat dan United Kingdomm untuk berkongsi kepakaran mereka dalam industri berkenaan.
Dijangka menarik 25,000 pengunjung, Selangor turut menyasarkan padanan urus niaga RM1.3 bilion.