Oleh YASMIN RAMLAN
SHAH ALAM, 12 SEPT: Selangor kini menuju ke arah menjadi peneraju hab industri aeroangkasa terkemuka di Asia Tenggara, kata EXCO Pelaburan Ng Sze Han.
Beliau berkata bagi merealisasi matlamat itu, Kerajaan Negeri berusaha menarik pelaburan yang besar, memupuk inovasi dan kepakaran tempatan dalam industri berkenaan.
“Inisiatif ini penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi dan mewujudkan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi untuk penduduk Selangor,” katanya pada Pameran Udara Selangor (SAS), hari ini.
Terdahulu, Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan berangkat ke pameran edisi keempat di Pusat Penerbangan Serantau (RAC) Skypark, Bukit Jelutong di sini.
Hadir sama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) Saipolyazan M Yusop dan CEO Invest Selangor Datuk Hasan Azhari Idris.
[caption id="attachment_662927" align="alignnone" width="802"] Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan menaiki pesawat model 9M-GTR yang dipandu kapten John selepas merasmikan Pameran Udara Selangor (SAS) 2024 di Pusat Penerbangan Serantau (RAC) Skypark, Bukit Jelutong, Shah Alam pada 12 Septembar 2024. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Sze Han menambah, sebahagian besar jumlah pelaburan sebanyak RM55.3 bilion yang direkodkan negeri tahun lalu adalah menerusi sektor aeroangkasa yang berkembang pesat.
Jelasnya, Selangor berada di barisan hadapan apabila 67 peratus ekonomi aeroangkasa negara berpangkalan di negeri ini selain memiliki kemudahan ekosistem aeroangkasa yang komprehensif.
“Perkembangan ini menyerlahkan kekuatan ekosistem aeroangkasa Selangor dan komitmen Kerajaan Negeri terhadap pertumbuhan masa depan,” katanya.
Menurut Sze Han, Selangor sedang mengusahakan beberapa projek strategik termasuk mengembangkan aktiviti aeroangkasa bersama beberapa syarikat terkemuka seperti Dassault Aviation dan Collins Aerospace.
[caption id="attachment_662928" align="alignnone" width="799"] Pelawat melihat pelbagai model pesawat dan kapal terbang yang diketengahkan sempena Pameran Udara Selangor (SAS) 2024 di Pusat Penerbangan Serantau (RAC) Skypark, Shah Alam pada 12 Septembar 2024. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Tambahnya, Kerajaan Negeri turut memberi tumpuan terhadap inisiatif seperti Taman Aero Selangor dan Program Perantis Aeroangkasa Selangor (SAAP) bagi melahirkan bakat muda selain memenuhi sasaran 32,000 pekerja mahir menjelang 2030.
“Usaha ini bertujuan untuk memulihkan penghijrahan pakar dan menggalakkan para profesional mahir di luar negara untuk pulang ke tanah air dan menyumbang kepada negara, terutama dalam industri aeroangkasa,” katanya.
SAS dianjur bermula hari ini sehingga 14 September menampilkan pameran aeroangkasa dari lebih 45 negara dan dijangka menarik 25,000 pengunjung dengan sasaran potensi nilai transaksi RM1.3 bilion.
Mula dianjur pada 2021, SAS menjadi landasan Kerajaan Selangor menggalakkan pertumbuhan sektor aeroangkasa dan membantu syarikat tempatan serta usahawan kecil dan sederhana meneroka bidang itu.