ad
ADN

JKR laksana kerja penyelenggaraan, banjir kilat Bandar Botanic bakal selesai

12 Sep 2024, 4:05 AM
JKR laksana kerja penyelenggaraan, banjir kilat Bandar Botanic bakal selesai

SHAH ALAM, 12 SEPT: Penduduk Bandar Botanic, Klang yang sebelum ini berdepan isu banjir kilat kini mampu menarik nafas lega apabila masalah itu bakal selesai dalam tempoh terdekat.

Wakil rakyat Sentosa berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang melaksana kerja penyelenggaraan longkang di sempadan Lebuhraya Kesas dan Lebuh Raya Pulau Indah yang menjadi punca masalah tersebut berlaku.

Menurut Dr G Gunaraj, kerja penyelenggaraan yang dilaksana kontraktor Road Care JKR itu bermula kelmarin dan dijangka selesai dalam tempoh dua minggu.

“Perkara ini saya bangkitkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Infra dan Kemudahan Awam Majlis Bandaraya Diraja Klang pada bulan lalu yang turut dihadiri oleh wakil JKR Klang.

“Kerja-kerja penyelenggaraan telah bermula dan akan siap sepenuhnya dalam tempoh dua minggu. Semoga usaha ini dapat mengelakan banjir kilat daripada berlaku lagi,” katanya menerusi Facebook.

Terdahulu, Gunaraj bersama wakil JKR meninjau kerja penyelenggaraan di sempadan Lebuhraya KESAS dan Lebuh Raya Pulau Indah yang dirakam menerusi video.

Media sebelum ini melaporkan masalah banjir kilat di Lebuhraya Kesas sering terjadi sejak beberapa tahun lalu terutamanya dari arah Hicom menuju ke Bandar Botanic.

Banjir kilat turut menjejaskan beberapa kediaman berhampiran selain menyebabkan kesesakan lalu lintas melibatkan beberapa laluan antaranya Bandar Puteri, Jalan Langat, Jalan Kebun dan Jalan Johan Setia.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.