SHAH ALAM, 12 SEPT: Seramai 29 jemaah haji muassasah 2024 sekitar Bukit Melawati menerima Insentif Haji Muassasah bernilai RM1,000 setiap seorang baru-baru ini.
Menurut Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI penyerahan insentif haji itu merupakan inisiatif tahunan MBI Selangor bagi meringankan beban jemaah haji.
"Sumbangan disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MBI Saipolyazan M Yusop dalam satu majlis meraikan jemaah haji di Balai Penghulu Mukim Pasangan, Kuala Selangor.
“Untuk rekod, Kerajaan Negeri dan MBI telah memperuntukkan sejumlah RM6 juta yang memberi manfaat kepada 6000 jemaah haji muassasah Negeri Selangor,” maklumnya menerusi Facebook.
Pada Julai, Dato’ Menteri Besar mengumumkan Insentif Haji Muassasah akan dinaikkan kepada RM2,000 pada 2026 berbanding RM1,000 ketika ini.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif itu bagi membantu meringankan beban jemaah haji negeri ini yang bakal menunaikan rukun Islam kelima itu.
Tahun ini, Kerajaan Negeri bersetuju meningkatkan Insentif Haji Muassasah dari RM500 kepada RM1,000 melibatkan peruntukan RM6 juta dan memanfaat 6,000 bakal jemaah haji.