SHAH ALAM, 12 SEPT: Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) menyerahkan sumbangan RM30,000 bagi membaik pulih kantin Sekolah Kebangsaan Taman Pantai Sepang Putra, Sungai Pelek, Sepang.
Agensi itu berharap sumbangan wakaf fisabilillah yang diserahkan semalam dapat meningkatkan keselesaan pelajar dan guru yang menggunakan kemudahan itu.
“Semoga sumbangan ini memberi manfaat kepada warga sekolah dan menjadikan jariah yang mengalir kepada pewakaf yang menyumbang sehingga yaumulakhirah,” katanya di Facebook.
Menurut PWS pada hari penyerahan pihaknya turut memberikan taklimat bagi menyebarluas dakwah, kefahaman dan kesedaran tentang manfaat berwakaf kepada warga sekolah berkenaan.
“Turut dibuka kaunter wakaf tunai bagi memberi peluang kepada guru melaksanakan ibadah wakaf melalui kaedah potongan gaji, secara terus dan kod QR,” katanya.
PWS memaklumkan sumbangan wakaf boleh dibuat menerusi laman web PWS di fpx.wakafselangor.gov.my atau infaqpay.my/go/wakafselangor untuk berwakaf tunai.