ad
AGENSI

Hijrah: Kelas TikTok bantu tingkat jualan usahawan hingga 87 peratus

12 Sep 2024, 1:00 AM
Hijrah: Kelas TikTok bantu tingkat jualan usahawan hingga 87 peratus

SHAH ALAM, 12 SEPT: Kelas strategi pemasaran di TikTok anjuran Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah Selangor) berjaya membantu meningkatkan jualan usahawan sehingga 87 peratus.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Dato' Mearia Hamzah berkata seramai 20 daripada 66 peserta mengikuti kelas itu sejak awal Februari pada tahun ini menunjukkan pencapaian yang signifikan.

"Seramai 20 daripada 66 usahawan menunjukkan peningkatan jualan sebanyak 87 peratus dan tambahan pengikut di TikTok sehingga 82 peratus setelah sebulan mengikuti kelas ini pada Februari lalu.

"Pencapaian ini membuktikan bahawa usahawan yang hadir ke kelas anjuran Hijrah Selangor dapat memanfaatkan ilmu yang dipelajari untuk mengembangkan perniagaan mereka," katanya ketika dihubungi.

Beliau menjelaskan, kelas pemasaran di TikTok bakal dianjurkan lagi November ini dengan menumpukan kepada topik penjenamaan produk usahawan.

Dalam perkembangan sama, Mearia berkata Hijrah Selangor turut bekerjasama dengan Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) dengan menganjurkan program Selangor 1,000 Digital.

"Kerjasama ini bertujuan memberi impak positif kepada usahawan terutamanya dalam meningkatkan pemahaman mereka berhubung strategi digital dalam perniagaan.

"Kita telah menjalankan empat daripada lima siri program ini di sekitar daerah di Selangor. Insya-Allah, kita akan umumkan siri seterusnya tidak lama lagi," katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.