ad
AGENDA

Penganggur ditahan, ganja 65.6 kilogram bernilai RM203,632 dirampas

11 Sep 2024, 2:45 PM
Penganggur ditahan, ganja 65.6 kilogram bernilai RM203,632 dirampas

KUALA LUMPUR, 11 SEPT: Penganggur ditahan polis dan ganja seberat 65.6 kilogram (kg) dianggar bernilai RM203,632 dirampas dalam dua serbuan di kondominium di Cheras dan Segambut, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Cheras ACP Ravindar Singh Sarban Singh berkata lelaki berusia 30-an itu ditahan di Cheras pada 9 malam, yang kemudian membawa kepada penemuan ganja seberat 62.56 kg hasil pemeriksaan di unit kondominium di situ.

Beliau berkata turut dirampas kereta Perodua Axia dan wang tunai RM100.

"Hasil soal siasat terhadap lelaki itu, polis bertindak ke sebuah lagi kondominium di Segambut dan pemeriksaan menemukan 3.1 kg ganja bersama peralatan penimbang dan 'vacuum sealer', dipercayai digunakan dalam pembungkusan dadah itu,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Ravindar Singh berkata siasatan awal mendapati suspek yang bergerak aktif sejak awal tahun ini menyewa kondominium di Segambut bagi menyimpan dan membungkus semula dadah dibeli.

Beliau berkata lelaki itu dipercayai membeli dadah daripada individu tempatan di bandar raya ini sebelum dibungkus semula dalam pek seberat lima gram hingga satu kilogram untuk dijual kepada penagih.

“Dianggarkan jumlah dadah dirampas boleh digunakan 131,370 penagih dan berikutan itu polis sedang memburu individu yang dipercayai membekal dadah kepada suspek," katanya.

Beliau berkata lelaki itu direman seminggu hingga esok dan dijangka disambung reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.