ad
BERITA UTAMA

Selangor tumpu produk pertanian moden, jamin bekalan makanan masa depan

11 Sep 2024, 2:00 PM
Selangor tumpu produk pertanian moden, jamin bekalan makanan masa depan
Selangor tumpu produk pertanian moden, jamin bekalan makanan masa depan

SERDANG, 11 SEPT: Pelbagai produk pertanian moden dan bernilai tinggi diberi tumpuan tahun depan untuk terus memajukan sektor pertanian negeri, kata EXCO pertanian.

Ir Izham Hashim berkata selaras Pelan Transformasi Agro Selangor (PeTA) yang menekankan asas jaminan bekalan makanan, Selangor sentiasa meneroka peluang menjamin bekalan makanan rakyat selain meningkatkan pendapatan petani, penternak dan nelayan.

“Penerokaan pertanian moden ini sangat penting untuk Selangor terutama pada masa depan justeru tahun depan banyak lagi projek pertanian moden dan bernilai tinggi kita akan buat.

“Seperti pembakaan lembu wagyu, nangka J33, melon, halia dan cendawan dengan projek perintisnya sudah ada tahun ini dan akan dikembangkan tahun depan,” katanya ditemui di sini, hari ini.

[caption id="attachment_661209" align="alignleft" width="500"] EXCO Pertanian Ir Izham Hashim bercakap kepada media ketika meninjau program Inisiatif Tangkap Ikan Pleco di Denai Sungai Kebangsaan Sungai Langat, Hulu Langat pada 1 September 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]

Mengulas lanjut, katanya produk bernilai tinggi seperti ikan Gourami sejenis ikan air tawar kini dikembangkan pusat penternakannya di Bukit Cerakah, Puncak Alam dan Bukit Tagar, Bestari Jaya.

“Setakat ini usahawan dari Selangor satu-satunya di negara kita yang mengusahakan, peringkat pembenihan hinggalah komersial, belum ada lagi di negeri lain.

“Ikan ini mempunyai nilai komersial tinggi yang mana di Indonesia kita tahu ia adalah makanan utama mereka,” katanya.

Terdahulu Ir Izham meninjau Pavilion Selangor sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024 yang berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) mulai hari ini hingga 22 September.

Pelbagai produk pertanian moden dan bernilai tinggi ditampilkan dalam Pavilion Selangor termasuk Vanilla Planifolia, sejenis tanaman orkid yang mempunyai nilai komersial tinggi.

Produk lain ialah ikan Gourami (ikan air tawar), jagung bijirin berkualiti tinggi, melon Selangor, kelapa dan nanas serta produk agropelancongan.

Bertemakan ‘Menuai Harapan, Membina Masa Hadapan’, pameran pertanian terbesar di Asia Tenggara itu menyediakan lebih 2,000 ruang jualan dan dibuka mulai jam 10 pagi hingga 10 malam.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.