SHAH ALAM, 11 SEPT: Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah Selangor) meluluskan 90,475 pembiayaan sejak awal penubuhannya pada 2015 hingga Ogos lalu.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Dato' Mearia Hamzah berkata daripada jumlah itu 60,249 usahawan Hijrah Selangor memanfaatkan pembiayaan berkenaan.
Menurutnya, Hijrah Selangor menawarkan pelbagai skim pembiayaan bagi usahawan melebarkan perniagaan antaranya Skim i-Bisnes, Skim Zero to Hero; Skim Go Digital dan Skim Pembiayaan Niaga Darul Ehsan (NaDi).
"Hijrah Selangor sentiasa memberi perkhidmatan terbaik untuk membantu usahawan mengembangkan perniagaan dengan pelbagai tawaran skim pembiayaan.
"Malah, setakat ini, 83,757 pembiayaan paling tinggi diluluskan Hijrah Selangor adalah Skim i-Bisnes yang mana ia mendapat tempat dalam kalangan usahawan," katanya ketika dihubungi.
[caption id="attachment_626157" align="alignleft" width="500"] Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Hijrah Selangor Datuk Mearia Hamzah berucap pada majlis perasmian Program Strategi Menang 2024 anjuran Yayasan Hijrah Selangor di Pusat Konvensyen Ideal Shah Alam pada 29 Januari 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI[/caption]
Mengulas berhubung pembayaran balik pinjaman, Mearia berkata ia menunjukkan dampak positif dan membayar mengikut jadual ditetapkan.
"Daripada aspek pembayaran balik rata-ratanya positif apabila 95.47 peratus membayar mengikut jadual bayaran balik ditetapkan Hijrah Selangor," katanya.
Sejak penubuhan, agensi itu menyediakan bantuan modal kepada mereka yang mahu berniaga secara kecil-kecilan atau mengembangkan perniagaan.
Hijrah Selangor turut menyediakan Skim i-Lestari, Skim i-Agro dan Skim i-Bermusim bagi membantu dari segi modal serta mengembangkan perniagaan usahawan.