SHAH ALAM, 11 SEPT: Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Kembangan memanfaat dana Projek Selangor Penyayang (PSP) dengan membaik pulih kemudahan sukan dan pusat kegiatan masyarakat.
Wakil rakyatnya berkata kerja penambahbaikan menggunakan peruntukan Kerajaan Negeri sebanyak RM250,000 membabitkan tujuh projek iaitu membaiki gelanggang futsal, bola keranjang dan badminton.
Projek lain termasuk membaiki kelengkapan padang cergas di Taman Universiti Indah, Seri Kembangan dan naik taraf lantai di kabin rukun tetangga Jalan SB Indah 1/4, Zon 24, Seri Kembangan, kata Wong Siew Ki.
“Selain membaiki gelanggang, baik pulih juga melibatkan kerja baiki pagar, bumbung, meja dan kerusi serta kelengkapan dan kemudahan di kawasan berkaitan.
“Semoga ia dapat memberi keselesaan dan keselamatan kepada pengguna kemudahan terlibat,” katanya ketika dihubungi.
Dato’ Menteri Besar ketika membentang Belanjawan 2024, memaklumkan RM24 juta diperuntuk bagi meningkatkan kualiti fasiliti awam dan membina prasarana baharu.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata RM10 juta diperuntuk bagi mengecat dan memperbaiki fasiliti pangsapuri kos rendah serta sederhana melebihi 15 tahun manakala RM14 juta diperuntuk kepada 56 DUN dengan setiap daripadanya menerima RM250,000.