ad
AGENSI

100 syarikat pemula terpilih sertai program Pemecut Selangor, ECX24

10 Sep 2024, 1:13 PM
100 syarikat pemula terpilih sertai program Pemecut Selangor, ECX24

KUALA LUMPUR, 10 SEPT: Sebanyak 100 syarikat pemula terpilih menyertai program Pemecut Selangor (SAP24) dan Selangor E-Commerce Xccelerator (ECX24) anjuran Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec).

Ketua Pegawai Eksekutif Sidec Yong Kai Ping berkata pemilihan syarikat dibuat mengikut beberapa bidang utama antaranya kecerdasan buatan (AI), mobiliti pintar, makanan dan minuman serta kesihatan.

“Kami menerima lebih 550 permohonan untuk program SAP24 dan ECX24. Ini menunjukkan minat tinggi dalam kalangan usahawan sekali gus mencerminkan pengiktirafan Selangor sebagai hab inovasi dan pembangunan perniagaan.

"Proses pemilihan dibuat dengan teliti bertujuan untuk memberi sokongan kepada usahawan berimpak tinggi dalam membangunkan syarikat berpotensi besar,” katanya pada sidang media.

Beliau ditemui pada majlis pelancaran Twin Accelerator Programme 2024 membabitkan kohort ketujuh SAP24 dan kohort kedua bagi ECX24 yang disempurnakan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Majlis yang diadakan Asia School of Business (ASB) Academics di sini, hari ini, turut dihadiri Menteri Digital Gobind Singh Deo dan EXCO Pelaburan Ng Sze Han.

Kai Ping menambah, pemenang ECX24 akan membawa pulang trofi, sijil, wang tunai, dan peluang pelaburan selain berpeluang menyertai program istimewa oleh ByteDance TikTok di Shanghai, China.

Menurutnya, SAP24 pada tahun ini julung kali memperkenalkan lawatan antarabangsa eksklusif untuk peserta terpilih, dengan fokus yang disesuaikan mengikut vertikal perniagaan masing-masing.

“Melalui program ini, peserta menerima bimbingan, peluang jaringan dan bengkel membolehkan mereka mencapai tahap pelaburan dan pengembangan yang lebih tinggi,” katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.