KUALA LUMPUR, 10 SEPT: Selangor berhasrat mengadaptasi teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam sistem pengurusan tanah di pejabat daerah dan tanah seluruh negeri, tahun depan.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata teknologi berkenaan akan memberi kemudahan kepada masyarakat untuk memperoleh maklumat selain berupaya menangani isu penipuan.
[caption id="attachment_662705" align="aligncenter" width="814"] Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari barucap pada majlis pelancaran Twin Accelerator Programme 2024 di Auditorium Khazanah, Asia School of Business Academic, Kuala Lumpur pada 10 September 2024. Foto HARUN TAJUDIN /MEDIA SELANGOR[/caption]
“Di masa depan, kaunter hadapan kita boleh dipenuhi dengan AI, hanya perlu lengkapkan data. Sebagai contoh, pengurusan tanah. Itu antara isu utama yang dibangkitkan dan kita boleh ambil cabaran itu.
“Dalam tempoh setahun atau dua, harapnya sistem e-Tanah kita boleh diakses oleh masyarakat. Di situ mereka boleh gunakan untuk kenalpasti data yang tidak melanggar akta rahsia rasmi dan tidak ada lagi peranan orang tengah atau penipuan,” katanya pada sidang media.
Terdahulu, beliau melancarkan Twin Accelerator Programme 2024 membabitkan program Pemecut Selangor kohort ketujuh dan Selangor E-Commerce Xccelerator kohort kedua.
Bertempat di Asia School of Business Academics di sini, majlis berkenaan turut dihadiri Menteri Digital Gobind Singh Deo dan EXCO Pelaburan Ng Sze Han.
Sementara itu, Gobind berkata Kementerian Digital bakal membentangkan akta baharu berkaitan AI yang membolehkan perkongsian data di Parlimen pada akhir tahun ini.
Menurutnya, sebelum ini negara berdepan pelbagai masalah yang tidak dapat diselesaikan berikutan kekangan maklumat selain infrastruktur berkaitan teknologi tidak diperkukuh.
[caption id="attachment_662704" align="aligncenter" width="815"] Menteri Digital Gobind Singh Deo ketika sidang media selepas majlis pelancaran Twin Accelerator Programme 2024 di Auditorium Khazanah, Asia School of Business Academic, Kuala Lumpur pada 10 September 2024. Foto HARUN TAJUDIN /MEDIA SELANGOR[/caption]
“Kalau kita membolehkan akses itu, ia akan mempercepatkan kita mengumpul analisa maklumat sekaligus meningkatkan keupayaan kita dalam bidang teknologi AI,” katanya.
Sebelum ini, Kementerian Digital dilapor akan membentangkan pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia selain mengkaji semula Akta Komunikasi dan Multimedia yang digubal pada 1998.
[caption id="attachment_662697" align="aligncenter" width="814"] Dato' Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah), Menteri Digital Gobind Singh Deo dan EXCO Pelaburan Ng Sze Han bergambar bersama penaja dan peserta pada majlis pelancaran Twin Accelerator Programme 2024 di Auditorium Khazanah, Asia School of Business Academic, Kuala Lumpur pada 10 September 2024. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR[/caption]