SHAH ALAM, 10 SEPT: Australia akan menggubal undang-undang menyekat akses kanak-kanak menggunakan media sosial dengan menetapkan had usia minimum 16 tahun.
Perdana menterinya berkata larangan berkenaan secara tidak langsung dapat menjauhkan kanak-kanak daripada peranti seterusnya mendorong mereka menghabiskan masa dengan kegiatan lebih berfaedah.
“Kami mengambil tindakan ini kerana cukuplah dengan apa yang berlaku sekarang. Ibu bapa sangat risau tentang perkara ini.
“Keselamatan serta kesihatan mental dan fizikal golongan muda kita adalah yang paling penting,” kata Anthony Albanese seperti dilapor The New Daily.
Menurut Albanese undang-undang berkaitan hal itu akan diperkenalkan sebelum akhir tahun ini selepas ujian pengesahan umur dan had umur minimum untuk kanak-kanak menggunakan laman sosial seperti Facebook, Instagram dan TikTok.
“Ujian pengesahan umur akan dijalankan dalam beberapa bulan akan datang sebelum undang-undang diperkenalkan menjelang akhir tahun ini.
"Saya mahu melihat kanak-kanak menjauhkan diri daripada peranti mereka dan ke padang bola sepak, kolam renang dan gelanggang tenis.
"Kami mahu mereka mempunyai pengalaman sebenar berinteraksi dengan orang sebenar kerana kami tahu bahawa media sosial menyebabkan kemudaratan sosial," katanya.